Sejumlah besar barisan diplomat negara-negara Eropah dilaporkan keluar dari dewan semasa ucapan Menteri Luar Rusia, Sergey Lavrov, pada Persidangan Pelucutan Senjata Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Geneva pada Selasa.
Mereka dilihat beredar beramai-ramai ketika rakaman mesej video Lavrov mula ditayangkan dipercayai sebagai simbolik sokongan mereka terhadap Ukraine.
Perkara itu turut disuarakan wakil Perancis di persidangan tersebut melalui laman Twitter rasmi beliau.
”Keluar dari EU dan rakan kongsinya semasa kenyataan Menteri Lavrov di Persidangan Pelucutan pagi ini untuk menunjukkan sokongan kami kepada Ukraine,” tulis beliau sambil meletakkan tanda pagar Stand With Ukraine.
Kumpulan yang memboikot ucapan tersebut kemudiannya dikatakan berdiri di luar dewan persidangan sambil memegang bendera negara Ukraine, lapor Daily Mail.
Menurut laporan CNN, Lavrov dalam ucapan itu berkata, beliau tidak dapat menghadirkan diri secara peribadi dalam persidangan tersebut kerana tindakan Kesatuan Eropah yang mengenakan sekatan terhadap Rusia dianggap ‘keterlaluan’.
Ini berikutan pencerobohan tanpa provokasi yang dilakukan negara itu ke atas Ukraine sehingga mengorbankan ramai rakyat awam.
Sumber: CNN