Tahun 2021 telah melabuhkan tirai pada Jumaat lalu. Mengimbas kembali peristiwa-peristiwa yang berlaku pada tahun lalu, pastinya ia akan sentiasa berada di ingatan dan kekal menjadi lipatan sejarah manusia sejagat.
Selain COVID-19, tahun lalu juga menyaksikan banyak bencana alam yang berlaku di seluruh dunia sehingga mengorbankan ratusan ribu nyawa dan merosakkan infrastruktur serta kediaman penduduk.
Masih belum terlambat lagi rasanya jika SK berkongsikan mengenai 10 bencana dahsyat yang berlaku sepanjang tahun 2021 yang merekodkan jumlah kematian yang ramai. Moga ianya menjadi iktibar untuk kita semua.
10. Letusan gunung berapi Semeru
Gambar: The MirrorMeletus pada 4 Disember lalu, gunung berapi Semeru di daerah Lumajang, Indonesia itu telah mengorbankan 45 orang dan memusnahkan perkampungan Curah Kobokan.
Ketika hari pertama gunung itu meletus, kawasan sekitar telah diliputi debu dan asap tebal berwarna hitam sehingga menyebabkan keadaan di sana bertukar seperti menjadi waktu malam walaupun di siang hari.
Sehingga 17 Disember, jumlah kematian meningkat kepada 48 orang dan amaran mengenai kemungkinan letusan baharu telah dikeluarkan pada ketika itu.
9. Puting beliung di Amerika Syarikat
Gambar: New York TimesDianggap puting beliung paling teruk berlaku di negara itu pada tahun lalu, seramai 92 orang dilaporkan telah terkorban dalam bencana alam itu.
Difahamkan, puting beliung yang berlaku pada 10 dan 11 Disember itu berlaku dengan intensiti yang sangat kuat di lapan negeri iaitu di Kentucky, Arkansas, Tennessee, Missouri, Illinois, Georgia, Ohio dan Indiana .
Memetik laporan National Oceanic and Atmospheric Administration, puting beliung tersebut telah menyebabkan kerosakan yang amat ketara dan ia merupakan kesan daripada perubahan iklim yang mencabar.
Seramai 78 daripada 92 mangsa yang meninggal dunia ialah yang berasal daripada Kentucky. Angka kematian di negeri itu melebihi kejadian puting beliung yang berlaku pada 1890 yang menyebabkan 76 kematian.
8. Taufan Ida
Gambar: Daily MailTaufan yang melanda Pelabuhan Fourchon Louisiana pada 29 Ogos ini telah ‘mendarat’ sebagai ribut Kategori 4 yang membunuh 91 orang di 9 negeri di Amerika Syarikat.
Akibat angin kencang yang berpunca dari taufan itu, segala infrastruktur ‘lumpuh’ dan mengakibatkan sejumlah 32 lagi kematian di seluruh Pantai Teluk.
Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) melaporkan bahawa bencana banjir turut berlaku di seluruh Timur Laut AS dan meragut 56 nyawa.
7. Siklon Tauktae
Gambar: FirstpostMemetik laporan Indian Express, sebelum Tauktae tiba di negeri pantai India, Gujarat pada 17 Mei, ribut itu telah membunuh enam orang dan 109 lagi selepas ianya ‘mendarat’ di negeri itu.
Siklon itu seterusnya telah bergerak dan melakukan kemusnahan di Laut Arab. Ketika itu, 86 orang yang berada di atas bot tunda dan tongkang dilaporkan telah mati lemas.
6. Banjir kilat India
Gambar: CNNHujan lebat berterusan yang melanda merentasi Nepal dan negeri-negeri India iaitu Kerala dan Uttarakhand pada 18 Oktober telah membawa banjir besar dan tanah runtuh sehingga meragut nyawa 201 orang.
Menurut CNN, sekurang-kurangnya 70 orang maut di negeri Uttarakhand di utara India dengan daerah Nainital menjadi kawasan yang paling teruk terjejas dan menyumbang kira-kira separuh daripada kematian.
5. Taufan Seroja
Gambar: The Bangkok PostTaufan seroja telah menyebabkan beberapa banjir terburuk dalam beberapa dekad. Difahamkan, taufan yang terbentuk di Laut Savu pada 3 April itu telah mendarat di timur Indonesia dan kemudian Timor-Leste sehingga meragut 222 nyawa di kedua-dua negara.
Sebelum hilang sepenuhnya, ribut dari taufan itu telah membelok ke Australia Barat dan memusnahkan 70 peratus bangunan di bandar Kalbarri dan Northampton.
Kemusnahan yang disebabkan oleh Taufan Seroja itu juga telah memberi impak yang besar terhadap penerapan sekatan COVID-19 kerana orang ramai telah berkumpul di sepanjang sungai dan jambatan, menyaksikan sungai membawa rumah, pokok dan batu di belakang mereka.
4. Banjir di Jerman
Gambar: BBCJerman barat telah dilanda hujan lebat pada 14 Julai dan telah mengakibatkan banjir dan kerosakan, selain membunuh 196 orang di negara itu.
Bagaimanapun, banjir juga turut melanda negara jirannya, Belgium, yang menyaksikan 38 nyawa terkorban.
3. Banjir dan tanah runtuh di China
Gambar: Hindustan TimesHujan lebat yang melanda di wilayah Henan, China telah mencetuskan banjir dan tanah runtuh yang mengorbankan sekurang-kurangnya 302 orang pada 20 Julai.
Bencana itu juga telah menyebabkan ribuan rumah dan infrastruktur rosak.
Ia merupakan kejadian yang diklasifikasikan sebagai banjir satu dalam 1,000 tahun dan menjadikannya sebagai salah satu daripada peristiwa terburuk yang menjejaskan China pada tahun lalu.
2. Taufan Rai
Gambar: Daily SabahTaufan yang melanda Filipina pada 16 Disember ini telah menyebabkan ratusan ribu orang telah kehilangan tempat tinggal dan membunuh sekurang-kurangnya 375 orang serta mencederakan 500 orang lagi penduduk.
Dengan kelajuan angin 120kmsj, pelbagai kerosakan telah berlaku dan banyak bangunan yang tidak dapat diselamatkan.
Bukan itu sahaja, tempias dari taufan itu turut terkena pada Malaysia apabila berlakunya luruan monsun yang membawa taburan hujan yang sangat tinggi.
Kesannya, beberapa negeri di Malaysia telah dilanda banjir besar yang tidak pernah berlaku sebelum ini sehingga meragut 48 nyawa serta memusnahkan rumah penduduk.
1. Gempa bumi di Haiti
Gambar: The New York TimesBencana yang paling meragut nyawa pada tahun lalu ialah gempa bumi di barat daya Haiti. Gempa berukuran 7.2 magnitud itu telah melanda negara tersebut pada 14 Ogos 2021 dan menyebabkan kerosakan dan kemusnahan yang teruk.
United States Geological Survey (USGS) melaporkan bahawa pusat gempa itu terletak kira-kira 125km barat ibu kota Port-au-Prince dan pada kedalaman kira-kira 10 kilometer.
Seramai 2,248 dilaporkan telah terkorban dalam kejadian itu dan ribuan lagi mengalami kecederaan.
Direktorat Umum Perlindungan Awam Haiti (DGPC) berkata bahawa 137,000 keluarga telah terjejas di Grande’Anse dan Nippes. Selain itu, kira-kira 500,000 orang atau 40% daripada jumlah penduduk di bahagian kawasan yang terjejas memerlukan bantuan kecemasan.
Gempa itu juga telah menyebabkan 52,900 rumah musnah dan 77,000 rosak.
Susulan itu, Perdana Menteri, Ariel Henry telah mengisytiharkan darurat di negara itu selama sebulan, lapor Shelter Cluster.
Beranjak ke tahun baharu 2022, pastinya kita semua mengharapkan agar tahun ini baik-baik saja dan sama-sama kita berdoa agar dijauhkan daripada segala bencana yang dahsyat.
Jom tonton video SK di bawah ini.
Sumber: US News