Dalam satu operasi semalam, pasukan Polis Marin Wilayah Dua, Johor Bahru telah berjaya merampas rokok seludup berjumlah RM6.66 juta dalam dua serbuan berasingan.
Sebanyak 41,800 karton rokok seludup dengan pelbagai jenama berjaya dirampas dalam operasi tersebut. Turut ditahan di dalam serbuan itu adalah dua lelaki tempatan berusia 45 dan 48 tahun yang merupakan pemandu lori.
Mereka akan direman selama tiga dan enam hari bermula 8 Oktober. Dipercayai rokok-rokok seludup itu adalah untuk pasaran dalam dan luar Johor dan ia difahamkan dijual dengan harga RM6 sekotak.
Menurut Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, serbuan itu merupakan rampasan terbesar tahun ini. Katanya lagi, modus operandi penyeludup rokok tidak lagi menyimpan bekalan di gundang atau stor penyimpanan. Sebaliknya, sindiket dipercayai menyeludup rokok dari negara jiran dan transit di perairan antarabangsa sebelum dipindahkan ke bot-bot kecil.
Ia kemudiannya akan dihantar terus ke lokasi yang dikehendaki menggunakan lori.