GEORGE TOWN, 15 April — Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini menafikan dakwaan bahawa pihaknya menyediakan makanan tidak berkualiti kepada pelajar yang tinggal di kampus sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
USM dalam kenyataan yang disiarkan menerusi laman Facebooknya berkata pihaknya akan mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang menyebar berita palsu di media sosial sehingga menjejaskan imej dan reputasi universiti itu.
“USM memandang serius penghinaan individu terbabit di media sosial apabila mendakwa makanan yang disediakan kepada pelajar di kampus tidak berkualiti dan kami sedang menyiasat serta mengkaji keperluan dalam mengambil tindakan undang-undang jika terbukti ia dilakukan dengan sengaja bagi memfitnah universiti,” menurut kenyataan itu.
USM turut berharap tidak ada pihak mengeluarkan kenyataan sewenang-wenangnya dan menyebarkan berita palsu kerana ia bukan budaya universiti itu.
Terdahulu, tular di laman sosial Facebook sejak semalam mengenai dakwaan ‘pelajar’ bahawa makanan yang disediakan USM kepada warga pelajarnya yang tinggal di kampus ketika PKP tidak menyelerakan.
Sumber: BERNAMA