usim simposium antarabangsa malaysia madani 2024
Tiada Kategori

USIM Menganjurkan Simposium Antarabangsa Malaysia MADANI 2024 : Islam Dan Kesederhanaan

Nurul Naqiyah

USIM Menganjurkan Simposium Antarabangsa Malaysia MADANI 2024 : Islam Dan Kesederhanaan

KUALA LUMPUR, 3 & 4 JULAI 2024 – Penganjuran Simposium Antarabangsa Malaysia Madani 2024: Islam dan Kesederhanaan oleh Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melalui Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP) bersama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Angkatan Belia Islam (ABIM) merupakan yang julung kali dianjurkan dan telah diserikan dengan kehadiran pemimpin-pemimpin utama negara termasuk Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Selain itu, Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir turut menjadi panel jemputan dalam salah satu sesi perbincangan bersama sarjana jemputan yang lain dan turut merasmikan penutup Simposium Antarabangsa Malaysia Madani 2024: Islam dan Kesederhanaan.

Sementara itu, simposium yang berlangsung selama dua hari pada 3 dan 4 Julai 2024 ini menampilkan lebih 15 tokoh terkemuka seluruh dunia seperti Presiden Institut Maqasid Kanada, Prof Jasser Auda, Imam Besar Universiti Al-Azhar, Syeikh Ahmed Mohamed Ahmed El-Tayeb, Ketua Esekutif, Cambridge Muslim College United Kingdom, Prof Joel Hayward, Mufti Australia, Dr Ibrahim Abu Mohamad dan beberapa lagi sarjana jemputan dari dalam dan luar negara.

usim simposium antarabangsa malaysia madani 2024

Simposium ini diadakan untuk mendalami kefahaman prinsip dan nilai Islam moderat yang menjadi asas kepada idea semasa tentang Islam dan kesederhanaan. Selain itu, simposium ini juga penting untuk meneroka strategi dan amalan terbaik memupuk kewujudan bersama secara aman, bersesuaian dengan pengenalan konsep Malaysia Madani sebagai kerangka persada global.

usim simposium antarabangsa malaysia madani 2024

Tambahan lagi, simposium ini juga bertujuan untuk menjelaskan peranan institusi pendidikan tinggi dan karya ilmiah serta dialog akademik, antara Barat dan Timur dalam memupuk keadilan sosial, rasa hormat dan persefahaman kepada Muslim moderat menuju abad ke-15 Hijrah.

Turut diadakan Majlis Konvokesyen Khas USIM 2024 yang menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Pengajian Quran dan Sunnah kepada Al Imam Al Akbar Sheikh Prof. Dr. Mohammad Ahmad Tayyib Sheikh Al Azhar Al Syarif, Imam Besar Al-Azhar.