UPM Siasat Staf Dipercayai Buat Komen Berbaur Lucah Semasa ‘Live’ TikTok
Universiti Putra Malaysia (UPM) akan menjalankan siasatan terhadap kakitangan yang dipercayai membuat gangguan seksual dengan memberi komen berbaur lucah di aplikasi Tiktok, baru-baru ini.
Dalam satu kenyataan menerusi ciapan di Twitter, UPM meminta semua pihak untuk bersabar dan tidak membuat sebarang spekulasi berkenaan perkara tersebut.
“UPM mengambil perhatian serius mengenai hantaran video tular di aplikasi Tiktok yang melibatkan staf UPM.
“Pihak UPM akan membuat siasatan segera terhadap staf berkaitan dan semua pihak diharapkan agar dapat bersabar dan tidak memanjangkan lagi perkara ini,” maklum kenyataan itu semalam.
Terdahulu, tular di media sosial satu video seorang peniaga wanita yang mendedahkan mengenai staf UPM, di mana lelaki tersebut didakwa meninggalkan komen berbaur lucah ketika bersiaran langsung di TikTok.
Dalam video tersebut, wanita berkenaan mendedahkan kejadian berlaku sewaktu dia menjual pakaian secara siaran langsung di platform sosial itu.
Difahamkan lelaki tersebut asalnya dikatakan menunjukkan minat dengan baju yang dijual sebelum mengajukan soalan berkenaan saiz.
Pada mulanya, peniaga itu menyangka komen tersebut daripada kaum wanita disebabkan rata-rata penontonnya merupakan perempuan dan baju yang dijual adalah untuk golongan itu juga.
Akan tetapi, tindakan berani lelaki itu akhirnya ‘tertangkap’ selepas salah seorang penonton mendedahkan bahawa dia sebenarnya seorang lelaki.
Sumber: UPM via Twitter