Undian Kejohanan Futsal ASEAN B19: Thailand Mohon Maaf Tersilap Pamer Bendera China Untuk Vietnam
Proses Undian Kejohanan Futsal Lelaki ASEAN Bawah 19 Tahun (B19) 2025 mencuri perhatian ramai apabila berlaku satu kesilapan teknikal melibatkan paparan bendera China dan bukannya bendera Vietnam, lapor Stadium Astro.
Difahamkan, kesilapan berkenaan berlaku sewaktu cabutan selama 10 minit yang dianjurkan oleh Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT).
Susulan itu, Persekutuan Bola Sepak Vietnam (VFF) telah segera menghantar surat kepada Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) dan FAT bagi menyatakan bantahan terhadap kesilapan itu.
Video berkenaan kemudian telah di alih keluar daripada platform media sosial berkenaan.
VFF membantah dan meminta penjelasan mengenai paparan bendera kebangsaan Vietnam yang salah semasa majlis cabutan
“Kesilapan serius itu boleh membawa akibat, merosakkan imej Vietnam dan memberi kesan negatif kepada perpaduan dalam komuniti ASEAN,” maklum VFF.
Susulan itu, VFF telah memohon AFF untuk menyiasat punca dan melakukan prosedur ketat bagi mencegah insiden sedemikian daripada berulang dalam kejohanan pada masa hadapan.
“VFF percaya bahawa AFF menyedari sepenuhnya betapa seriusnya isu ini dan akan menanganinya dengan penuh tanggungjawab, berhati-hati dan profesionalisme,” tambah persekutuan bolasepak itu.
Dalam insiden itu, AFF dan FAT memohon maaf kepada Vietnam dan VFF terhadap isu berkenaan.
Untuk makluman, Kejohanan Futsal Lelaki ASEAN B19 2025 dijadual berlangsung dari 23 hingga 29 Disember di Nonthaburi, Thailand.
Hasil undian menyaksikan Vietnam berjodoh dengan Brunei dan tuan rumah Thailand dalam Kumpulan A.
Manakala Kumpulan B terdiri daripada Malaysia, Indonesia, Myanmar dan Kemboja.
Kejohanan ini menggunakan format pusingan robin, di mana pasukan yang berada di dua tangga teratas setiap kumpulan akan mara ke separuh akhir.
Sumber: Stadium Astro