
UMW Toyota Motor (UMWT) menutup tirai tahun 2025 dengan prestasi memberangsangkan apabila mencatatkan jualan sebanyak 102,417 unit kenderaan, sekali gus menandakan tahun keempat berturut-turut syarikat itu melepasi paras 100,000 unit jualan tahunan.
Daripada jumlah tersebut, 14,284 unit direkodkan pada Disember 2025 sahaja, memperkukuh kedudukan Toyota sebagai jenama automotif bukan nasional pertama dan satu-satunya di Malaysia yang mencapai pencapaian ini secara konsisten selama empat tahun berturut-turut, satu rekod yang belum pernah dicapai sebelum ini dalam pasaran tempatan.
Pencapaian ini diraih ketika industri automotif berdepan persaingan sengit, kemasukan pemain baharu, serta peralihan pantas ke arah elektrifikasi dan perubahan jangkaan pengguna. Namun begitu, Toyota kekal menjadi pilihan rakyat Malaysia, hasil reputasi kukuh yang dibina menerusi konsistensi, kredibiliti dan pengalaman pemilikan jangka panjang.
UMWT menjelaskan bahawa permintaan stabil merentas barisan model Toyota membuktikan kepercayaan pengguna daripada pembeli kali pertama sehinggalah keluarga yang setia menggunakan Toyota sejak generasi terdahulu. Ini mencerminkan keupayaan jenama tersebut memenuhi keperluan pengguna bukan sahaja ketika pembelian, malah sepanjang tempoh pemilikan kenderaan.
Kejayaan berterusan ini turut dipacu oleh Pendekatan Multi-Pathway Toyota, yang mengambil kira perbezaan keperluan mobiliti, corak penggunaan dan tahap kesediaan infrastruktur di pelbagai komuniti. Melalui penawaran enjin pembakaran dalaman yang cekap, teknologi hibrid serta solusi masa hadapan, Toyota terus menggerakkan komitmennya terhadap konsep “Mobility for All” yang inklusif dan realistik untuk pasaran Malaysia.
Presiden UMW Toyota Motor, Datuk Ravindran K, berkata pencapaian tersebut merupakan bukti kepercayaan rakyat Malaysia terhadap jenama Toyota.
“Mencapai jualan melebihi 100,000 unit selama empat tahun berturut-turut adalah pencapaian bermakna buat Toyota. Ia mencerminkan kekuatan strategi jangka panjang kami, pelaburan dalam keupayaan tempatan serta kefahaman mendalam terhadap cara rakyat Malaysia menggunakan kenderaan mereka,” katanya.
Menurut beliau, berteraskan falsafah Best in Town dan pendekatan Customer First, Toyota akan terus menawarkan solusi mobiliti yang praktikal, boleh dipercayai dan relevan untuk generasi kini dan akan datang.
Sebagai sebahagian daripada inisiatif hujung tahun, UMWT turut memperkenalkan Pelan Toyota Extend bermula 1 Disember 2025. Program ini membolehkan pelanggan layak melanjutkan waranti lima tahun sedia ada sehingga lapan tahun, bergantung kepada model dan pakej dipilih.
Pelan ini ditawarkan untuk model terpilih seperti Vios, Corolla Cross, Yaris dan Corolla, dengan pilihan perlindungan Basic dan Premium. Semua tuntutan waranti boleh dibuat di Pusat Servis Toyota bertauliah di seluruh negara, selain boleh dipindah milik kepada pemilik seterusnya, sekali gus membantu mengekalkan nilai kenderaan dan memberikan ketenangan minda kepada pemilik.
Untuk maklumat lanjut mengenai produk, perkhidmatan dan inisiatif Toyota, orang ramai boleh melayari laman web rasmi Toyota Malaysia atau mengunjungi mana-mana pengedar sah Toyota di seluruh negara.