Seorang lelaki dilaporkan telah tinggal bersama jenazah ibunya selama 54 hari di rumah dengan mengawet mayat ibunyanya itu menggunakan ketulan ais.
Memetik laporan Detik News, kejadian tersebut telah berlaku di Kabupaten Buleleng, Bali dan ia terbongkar selepas ahli keluarga lelaki itu melaporkan kepada pihak polis pada Khamis lalu.
Difahamkan, ibunya meninggal dunia kerana sakit di rumahnya di Banjar Dinas Karya Nadi, Kecamatan Seririt sejak 3 November lalu.
Bagaimanapun, ibunya juga telah meninggalkan pesan iaitu tidak mengebumikannya selama empat bulan dan tidak melibatkan keluarga lain. Disebabkan itu, lelaki tersebut tidak terus menguburkan jenazah ibunya, sebaliknya dia merawat dan mengawet jenazah itu dengan menggunakan ais.
“Ibunya dulu berpesan agar jangan terus mengebumikannya jika dia meninggal dunia kerana dia ingin berada dekat dengan anaknya dulu. Itu pesan ibunya,” kata Ketua Polis Daerah Seririt Kompol Gede Juli.
Melihat keadaan itu, ahli keluarganya yang lain meminta agar jenazah segera dikebumikan namun permintaan mereka itu tidak diendahkan sehingga mereka terpaksa membuat laporan polis.
Susulan itu, mereka bersepakat untuk mengebumikan jenazah pada 26 Disember lalu.
“Setelah dijelaskan dengan baik, akhirnya lelaki itu bersepakat untuk mengebumikan mayat ibunya itu,” kata Juli.
Tambahnya lagi, meskipun sudah 54 hari tidak dikuburkan tetapi jenazah tidak mengeluarkan bau yang kuat kerana ia telah diawet dengan ais.
Sumber: Detik News