Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) menafikan kenyataan bahawa akan berlakunya ‘kedatangan’ klimaks Monsun Timur Laut pada tarikh-tarikh tertentu.
Menurut MET Malaysia, kenyataan tersebut yang dibuat oleh seorang pengguna Twitter yang menggelarkan dirinya sebagai ‘geologis’ itu adalah palsu.
“Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) mengklasifikasikan maklumat yang dikeluarkan oleh @i********n berkenaan “24, 25, 26 Disember, the climax of MTL (Monsun Timut Laut) will come” yang sedang tular di pelbagai platform media sosial serta aplikasi WhatsApp sebagai maklumat palsu.
“MET Malaysia ingin menegaskan bahawa penyebaran maklumat berita palsu dan tidak sahih boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” maklum jabatan tersebut dalam satu kenyataan hari ini.
Oleh itu, orang ramai diingatkan agar mendapatkan maklumat yang sahih berkenaan ramalan dan amaran cuaca melalui laman web rasmi, laman media sosial rasmi MET Malaysia, aplikasi myCuaca atau talian hotline 1-300-22-1638.
Sumber: Jabatan Meteorologi Malaysia