
Seorang lelaki di Hong Kong dilapor menjadi mangsa belasahan orang ramai apabila tindakannya mendedahkan jalan cerita atau ‘spoiler’ The Avengers: End Game di pintu masuk sebuah pawagam mendatangkan kemarahan pengunjung-pengunjung yang lain.
Menurut Asia One, beberapa keping gambar yang tular di media sosial menunjukkan seorang lelaki memakai T-shirt putih berada dalam keadaan tidak bermaya selepas di belasah dalam kejadian yang didakwa berlaku di Causeway Bay itu.

Walaupun kesahihan gambar berkenaan tidak dapat dipastikan oleh media tempatan, namun beberapa orang pengunjung yang berada di lokasi kejadian mengesahkan kejadian berkenaan.
Menurut saksi, lelaki berkenaan baru sahaja habis menonton filem tersebut sebelum ke ruang lobi dan menjerit dengan kuat ketika mendedahkan spoiler ke arah pengunjung lain yang menunggu giliran untuk menonton.
Sebahagian daripada warga maya berpendapat tindakan lelaki itu tidak wajar dan berharap dia mendapat pengajaran daripada perlakuan tersebut.

End Game mula ditayangkan di beberapa buah negara bermula Rabu lepas antaranya di Malaysia, Hong Kong, Singapura dan Korea Selatan.
Adik-beradik Russo yang terlibat secara langsung dalam pembikinan End Game sebelum ini turut mengeluarkan satu surat yang meminta orang ramai tidak mendedahkan jalan cerita bagi menghargai penat lelah para pelakon dan kru produksi serta menghormati penonton-penonton lain yang tidak berkesempatan menonton lebih awal.