Jepun dikenali sebagai negara yang sangat maju dan dipenuhi dengan teknologi-teknologi yang canggih. Bagaimanapun, di sebalik kemodenan yang dikecapi negara itu, timbulnya pelbagai fenomena yang membimbangkan dalam kalangan rakyat negara mereka.
Fenomena tersebut berkait dengan masalah kesihatan mental yang dihadapi mereka seperti kemurungan dan tekanan yang melampau.
Mungkin anda pernah mendengar mengenai Hikikomori iaitu fenomena golongan anak muda yang gemar mengasingkan diri di dalam bilik dan juga Kodokushi yang mati sendirian di rumah.
Kali ini, SK akan berkongsikan mengenai satu lagi fenomena aneh di negara matahari terbit tersebut iaitu Johatsu.
Untuk pengetahuan, Johatsu merupakan fenomena menghilangkan diri tanpa jejak.
Mengapa fenomena ini berlaku?
Johatsu berlaku disebabkan pelbagai masalah seperti hutang yang tidak dapat dilunaskan, budaya kerja yang terlalu ekstrem dan hubungan percintaan.
Ahli sosiologi Jepun, Hiroki Nakamori yang telah mengkaji fenomena itu selama bertahun-tahun berkata istilah Johatsu mula digunakan di negara Asia pada tahun 60-an.
Ia mula berlaku apabila orang ramai menyedari bahawa menghilangkan diri dari kehidupan mereka adalah perkara paling mudah daripada berhadapan dengan masalah yang dialami mereka.
“Di Jepun, lebih mudah untuk menghilangkan diri, polis tidak akan campur tangan melainkan ada sebab lain seperti jenayah atau kemalangan.
“Apa yang keluarga boleh lakukan ialah membayar wang dengan jumlah yang banyak untuk mengupah detektif swasta,” katanya.
Selagi mereka bergerak jauh dari kehidupan sebenar iaitu dengan menukar identiti, mereka tidak perlu risau jika dikesan di CCTV atau menggunakan kad kredit mereka di ATM.
Difahamkan, ahli keluarga tidak boleh mengakses video keselamatan dan transaksi ATM tidak pernah dijejaki kerana privasi yang sangat ketat di sana.
Wujud perkhidmatan bantu individu Johatsu
Fenomena itu begitu berleluasa sehingga wujudnya syarikat yang pakar dalam membantu orang ramai menghilangkan diri.
Dikenali sebagai perkhidmatan night moving atau fly-by-night shops, syarikat tersebut membantu merancang kehilangan individu Johatsu dan turut menawarkan penginapan sementara di lokasi rahsia.
Pemilik perkhidmatan itu berkata harga yang ditawarkan oleh mereka berbeza mengikut berapa banyak harta yang ingin dibawa lari oleh seseorang dan sejauh mana mereka ingin bersembunyi.
Harga tersebut boleh mencapai ¥50,000 (RM1,686) dan ¥300,000 (RM10,120).
Jika ada yang membawa anak-anak atau melarikan diri dari pemungut hutang, harga mungkin akan meningkat lebih banyak lagi.
Dakwa pemilik perkhidmatan itu lagi, mereka telah membantu antara 100 hingga 150 orang menjadi Johatsu setiap tahun.
Bagi mereka yang tidak mampu mendapatkan perkhidmatan itu pula akan mengikuti panduan yang boleh diakses secara umum, yang bertajuk Perfect Vanishing: Reset Your Life or The Complete Manual of Disappearance.
Sementara itu, terdapat satu laporan yang popular mengenai fenomena ini yang telah ditulis oleh seorang wartawan Perancis, Léna Mauger.
Laporan yang bertajuk The Vanished: The Evaporated People of Japan in Stories and Photographs itu merungkai dengan lebih mendalam mengenai Johatsu, lapor New York Post.
Difahamkan, terdapat seorang wartawan bersama rakan sekerjanya, Stéphane Remael mengambil masa selama lima tahun untuk menyelami sendiri kehidupan individu Johatsu.
Menerusi laporan tersebut, individu yang hilang dikatakan tinggal di bandar-bandar buatan mereka sendiri.
Seperti Bandar Sanya yang tidak terdapat di dalam mana-mana peta.
Secara teknikalnya ia tidak wujud tetapi ia sebenarnya adalah kawasan setinggan di Tokyo, yang namanya telah dipadamkan oleh pihak berkuasa.
Mauger juga telah bertemu dengan seorang lelaki yang telah menghilangkan diri selama 10 tahun.
Hilangkan diri kerana hilang pekerjaan
Lelaki itu dipercayai telah curang dengan isterinya dan dalam masa yang sama telah kehilangan pekerjaan sebagai seorang jurutera.
Menceritakan mengenai kehilangannya, lelaki itu berkata dia pada mulanya berpura-pura pergi ke tempat kerja setiap hari dengan memakai sut dan tali lehernya.
Namun, dia sebenarnya menghabiskan masa sepanjang hari dengan duduk di dalam keretanya di sebuah kawasan bekas bangunan pejabatnya.
Setelah seminggu melakukannya, dia mula merasakan bahawa dia tidak boleh meneruskannya lagi.
“Apabila pulang ke rumah, saya dapat merasakan bahawa isteri dan anak saya mengesyaki sesuatu pada saya.
“Saya juga rasa bersalah kerana tidak mempunyai gaji lagi untuk diberikan kepada mereka,” katanya.
Berikutan itu, dia memutuskan untuk menghilangkan diri tanpa meninggalkan sebarang nota dan keluarganya menyangka bahawa dia telah merayau ke Hutan Bunuh Diri dan membunuh diri.
Selepas itu dia hidup dengan menggunakan identiti baharu dan telah memutuskan untuk menjalani sisa hari-harinya dengan mengamalkan cara penebusan dosa.
“Selepas sekian lama, saya akan kembali menjadi diri saya yang dahulu, tetapi saya tidak mahu keluarga melihat saya dalam keadaan ini.
“Tengoklah saya, saya tiada apa-apa, jika mati esok, saya tidak mahu sesiapa pun dapat mengenali saya,” katanya.
Dalam pada itu, seorang lagi lelaki yang merupakan bekas pekerja binaan turut menghilang pada pertengahan 1990-an.
Dia telah muflis selepas menjaga ibunya yang sakit kerana menelan kos perbelanjaan yang amat tinggi.
“Saya tidak dapat menghadapi masalah itu, ibu saya telah memberikan segala-galanya tetapi saya tidak mampu untuk menjaganya,” kata lelaki itu.
Sebelum menghilangkan diri ke Sanya, dia telah membawa ibunya ke hotel murah dan meninggalkannya di sana.
Kisah kedua-dua lelaki itu hanyalah secebis sahaja daripada keseluruhan fenomena yang berlaku di negara itu. Rata-rata dari mereka mula menghilangkan diri ketika kemuncak krisis kewangan di Jepun pada 1989 dan 2008.
Sumber: Oddity Central /New York Post