TRX Muat Naik Garis Panduan, Kanak-kanak Dilarang Main Di Dalam & Di Atas “Water Spiral”
Setelah sekian lama menunggu, berita pembukaan The Exchange TRX nyata disambut baik oleh rakyat Malaysia.
Melihat kepada perkongsian-perkongsian awam yang dibuat di media sosial, orang ramai tidak melepaskan peluang untuk berkungjung ke lokasi ikonik terbaharu di ibu kota itu.
Selain ingin merasai sendiri pengalaman berbelanja di pusat beli-belah dengan deretan jenama mewah, mereka yang hadir juga meluangkan masa meneroka kemudahan taman yang ada disitu.
Untuk pengetahuan pembaca, antara kemudahan yang ada dan paling mencuri tumpuan di The Exchange TRX adalah taman permainan interaktif air.
Malah, sempat tular beberapa hari lalu video-video yang menunjukkan orang awam berpusu-pusu bermain dengan keluarga masing-masing di lokasi tersebut.
Namun begitu, timbul persoalan sama ada perkara berkenaan dibenarkan oleh pengurusan menara berkenaan?
Justeru, dalam kemaskini terbaru TRX di Instagram miliknya, mereka memuat naik sebuah video berkaitan peraturan yang perlu dipatuhi orang awam ketika menggunakan kemudahan berkenaan.

Menurut peraturan tersebut, kanak-kanak adalah dilarang sama sekali daripada bermain di dalam mahupun di atas pancur air.
Selain itu, kanak-kanak yang melakukan aktiviti di kawasan tersebut perlu berada di bawah pengawasan orang dewasa.
Peraturan seperti memakai pakaian dan kasut yang sesuai juga disarankan kepada para pengunjung yang membawa anak-anak mereka ke taman tersebut.

Tiga kawasan tarikan di taman atas bumbung
Sementara itu, perbuatan berenang di kawasan tarikan Play Cave Waterfall dan Water Play juga adalah dilarang. Manakala untuk pengunjung dewasa pula, mereka tidak dibenar menggunakan kemudahan permainan di Play City dan Play Cave.
BACA: Pusat Beli-belah Baharu, The Exchange TRX Mall Dibuka Secara Rasmi Hari Ini
Dalam pada itu, TRX juga memaklumkan bahawa kemudahan seperti bilik air yang terletak di kawasan berhampiran juga telah disediakan. Kemudahan itu disediakan bagi memudahkan pengunjung khususnya kanak-kanak untuk menukar pakaian selepas berseronok.
Taman atas bumbung seluas 10 ekar ini bukan sekadar taman biasa, ia adalah tarikan antarabangsa yang menawarkan pengalaman dan identiti negara Malaysia itu sendiri.
Sumber: Instagram/ TRX