Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun yang dilaporkan hilang ditemui mati dalam keadaan mengerikan di Thembalihle, dekat Estcourt, Afrika Selatan pada Sabtu, petik laporan Mirror.
Menurut Mirror, mayat mangsa telah ditemui dalam keadaan paku tertusuk menembusi tengkorak dan matanya serta alat kelaminnnya dikeluarkan.
Mayat mangsa tersebut dilaporkan telah ditemui oleh ahli keluarganya sendiri.
Bapa kanak-kanak tersebut yang berusia 38 tahun dilaporkan telah ditahan dan didakwa atas tuduhan membunuh dan memiliki tisu manusia, lapor Times Live.
Bahagian badan mangsa yang hilang didakwa dijumpai di rumah suspek.
Nenek kepada mangsa menyatakan bahawa sukar untuknya menerima bahawa mayat cucunya itu ditemui dalam keadaan sebegitu.
Ibu mangsa pula dipercayai tidak tinggal bersama keluarga tersebut.
Mangsa telah dilaporkan hilang sehari sebelum dia ditemui mati. Mayatnya yang dipercayai disembunyikan telah dibuang di dalam semak.

Motif pembunuhan ngeri itu masih belum diketahui.
Komisioner polis KwaZulu-Natal, Leftenan Jeneral Khombinkosi Jula, telah mengecam pembunuhan kejam itu, sambil menambah bahawa dia ‘gembira’ suspek telah berjaya ditangkap.
Anggota Majlis Eksekutif untuk pembangunan sosial Nonhlanhla Khoza menggesa supaya mereka yang membunuh wanita dan kanak-kanak dijatuhkan hukuman yang maksimum.
“Sebatang paku telah menembusi tengkorak dan matanya manakala alat kelaminnya dikeluarkan,” katanya.
“Polis mesti segera menyelesaikan siasatan dan menangkap pelaku yang terlibat dalam pembunuhan kanak-kanak yang tidak bersalah ini.
“Ini tragis dan keluarga perlu mendapat keadilan berikutan pembunuhan ini.”
Khoza menambah bahawa terlalu ramai orang dibunuh di Afrika Selatan, yang menyaksikan rata-rata 58 pembunuhan sehari dan lebih dari 21,000 setahun.
Sumber: Mirror