Tolak Rayuan Akhir, Siti Bainun Kekal Dipenjara 12 Tahun Abai Dan Aniaya Bella
PUTRAJAYA, 14 Ogos (Bernama) — Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan hukuman penjara 12 tahun terhadap pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali kerana mengabai serta menganiaya remaja perempuan sindrom Down dikenali sebagai Bella, empat tahun lepas.
Keputusan itu dibuat selepas panel tiga hakim terdiri daripada Hakim Datuk Azman Abdullah, Datuk Azmi Ariffin dan Datuk Hayatul Akmal Abdul Aziz menolak rayuan akhir Siti Bainun, 33, terhadap sabitan dan hukuman penjara 12 tahun yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 3 Mei 2023.
Siti Bainun didapati bersalah atas dua pertuduhan, iaitu mengabai dan menganiaya Bella, 13, sehingga mengakibatkan remaja perempuan sindrom Down itu mengalami kecederaan fizikal serta emosi di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021.
Pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya.
Hakim Azman ketika menyampaikan keputusan sebulat suara itu berkata mahkamah mendapati tiada apa-apa kekhilafan dari segi fakta dan undang-undang yang dibuat oleh Hakim Mahkamah Tinggi atas dapatan terperinci Hakim Mahkamah Sesyen.
“Setelah meneliti keseluruhan keterangan pihak pendakwaan dan pembelaan, kami dapati pihak pendakwaan telah membuktikan kesnya atas kedua-dua pertuduhan melampaui keraguan munasabah dan perayu (Siti Bainun) gagal untuk menimbulkan apa-apa keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan. Dengan ini, sabitan bagi kedua-dua pertuduhan adalah selamat untuk dikekalkan. Rayuan terhadap sabitan ditolak,” katanya.
Hakim Azman, yang mengekalkan hukuman penjara itu berkata mangsa (Bella) mengalami kecederaan semasa berada di bawah jagaan perayu.
“Perayu yang diamanahkan untuk menjaga mangsa sepatutnya mengasihani mangsa yang merupakan Orang Kurang Upaya (OKU). Bukan setakat sesama manusia sahaja, tetapi haiwan pun tidak terfikir dengan akal yang waras untuk mendatangkan kecederaan sepertimana yang berlaku terhadap mangsa,” katanya.
Dalam penghakimannya, Hakim Azman berkata tidak dapat dinafikan kecederaan dialami Bella, seorang OKU yang berusia 13 tahun semasa kejadian berlaku sepertimana dalam keterangannya (Bella) bukan berdiri sendiri, tetapi disokong oleh saksi mata Yasmin Nahar Mahmood (saksi pendakwaan kelima – SP5) dan SP8, iaitu pegawai penyelidik undang-undang di sebuah firma guaman, Suhana Zam.
“Melalui keterangan beberapa orang pegawai dan pakar perubatan seperti SP2 (Dr Meenambigai PK Sevarajah), SP3 (pakar pediatrik HKL Dr Nizam Malik Bali Mohamed), SP4 (pegawai perubatan HKL Dr Sheshadri Sridar) dan SP15 (pakar bedah plastik HKL Dr Salmi Mohamed Shukur), saksi-saksi ini menyatakan bahawa kecederaan dialami Bella bukan accidental injuries dan bukan self-inflicted injuries serta bukan daripada satu insiden sahaja, tetapi berlarutan kepada beberapa insiden dalam jangka masa tertentu.
“Berdasarkan laporan perubatan dan gambar-gambar kecederaan, jelas menunjukkan kecederaan serius pada diri mangsa seperti luka lecur pada kedua-dua bawah lengan dan kesan luka lama pada bahagian kepala, muka, leher kiri, bahagian belakang badan, perut, paha kanan yang sebahagiannya terjadi lecuran dan luka terbakar,” katanya.
Mengenai percanggahan keterangan SP5 yang dibangkitkan oleh peguam perayu, Hakim Azman berkata mahkamah mendapati tiada apa-apa motif untuk saksi utama pendakwaan itu menganiaya perayu kerana beliau hanya bertindak atas arahan perayu.
“Percanggahan yang berlaku hanya percanggahan biasa dan bukan sesuatu yang material yang boleh menggugat kes pendakwaan serta tidak sama sekali menggugat kredibiliti SP5 sebagai seorang saksi yang boleh dipercayai,” katanya.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Mohammad memohon supaya hukuman penjara 12 tahun dikekalkan dengan mengambil kira pertuduhan yang dihadapi Siti Bainun adalah serius.
“Melihat kepada fakta kes, Bella ialah seorang remaja kurang upaya yang didera dan diabaikan oleh perayu yang layak menjaganya, sebaliknya perayu mencederakannya. Kecederaan itu bukan kecil … mangsa mempunyai luka yang akan sembuh, tetapi parut dan trauma akan kekal seumur hidup,” katanya.
Peguam Mohd Haijan Omar berkata Siti Bainun telah disabitkan pada 3 Mei 2023 dan dia telah dipenjarakan selama lebih dua tahun dan memohon supaya hukuman penjara dikurangkan atas alasan anak guamnya tidak mempunyai rekod kesalahan lampau selain kecederaan mangsa tidak serius.
Dalam prosiding sama, mahkamah turut menolak permohonan Siti Bainun untuk mengemukakan bukti baharu dalam rayuan akhirnya.
Siti Bainun memohon untuk memanggil Ismanira Abdul Manaf, ibu Zayn Rayyan Abdul Matin, memberikan keterangan berhubung laporan polis yang dibuat oleh wanita itu pada 25 Julai tahun lepas membabitkan Yasmin Nahar serta memohon untuk memanggil semula SP5 itu bagi pemeriksaan lanjut berhubung laporan polis berkenaan.
Siti Bainun memfailkan rayuan bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun, yang dijatuhkan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 3 Mei 2023. Bagaimanapun, sabitan dan hukuman itu turut dikekalkan oleh Mahkamah Tinggi pada 2 Mei 2024.
Mahkamah turut memerintahkan Siti Bainun menandatangani bon berkelakuan baik selama lima tahun dengan seorang penjamin berserta cagaran RM5,000 dan melaksanakan khidmat masyarakat selama 200 jam yang perlu disempurnakan dalam tempoh enam bulan selepas tamat hukuman penjara.
Sumber: BERNAMA