SIBU, 20 Jun (Bernama) — Tiga lagi pusat pemberian vaksin (PPV) dan empat PPV bergerak akan beroperasi di kawasan-kawasan rumah panjang di sini minggu depan bagi memudahkan penduduk menerima suntikan vaksin COVID-19.
Penyelaras Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Sibu Dr Annuar Rapaee dalam siaran langsung menerusi media sosial miliknya malam tadi berkata tiga PPV itu adalah di Dewan Suarah, University College Techology Sarawak (UCTS) dan Dewan Lakis.
Beliau yang juga Menteri Muda Kesihatan Awam dan Perumahan Sarawak seterusnya membidas perbuatan segelintir pihak tidak bertanggungjawab yang memanipulasi pemikiran orang ramai supaya tidak menerima suntikan vaksin COVID-19.
“Ada orang kata di Sibu ramai yang telah diberi vaksin tetapi kes makin naik, betul (berkesan) ke tidak vaksin ini. Kenyataan seperti ini tidak baik. Sekarang kita semua perlu berusaha gigih untuk beri semangat kepada orang ramai untuk menerima vaksin,” katanya.
Katanya beliau turut difahamkan bahawa terdapat lebih 150 guru di Sibu yang enggan menerima suntikan vaksin COVID-19, dan ketika dihubungi Bernama hari ini Dr Annuar berkata beliau akan mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai perkara itu.
Sumber: BERNAMA