Tiga Lelaki Campak Anjing Ke Sungai Untuk Santapan Buaya, Marah Makanan Dicuri
Tindakan tidak bermoral sekumpulan lelaki mencampakkan anjing hidup-hidup ke dalam sungai sebelum dibaham buaya mengundang amarah orang ramai apabila video itu tular di media sosial baru-baru ini, lapor Detik Susel.
Difahamkan, kejadian itu berlaku di sebuah kawasan kilang di daerah Sembakung, Nunukan yang terletak di Indonesia pada Khamis lalu.
Ketua Polis Nunukan AKBP Taufik Nurmandia berkata kejadian bermula apabila anjing itu tertangkap memakan makanan yang disimpan oleh lelaki tersebut di atas meja.
Gara-gara marah makanan dicuri anjing, tiga lelaki kemudiannya membawa anjing itu dengan kereta ke sekitar kawasan sungai.
“Anjing itu masuk melalui pintu belakang kilang. Pelaku marah kerana makanan yang ditinggalkan atas meja dimakan oleh anjing,” katanya.
Taufik berkata dua lelaki merupakan pelaku yang membaling anjing itu, manakala seorang lagi merakam aksi yang diakukan menggunakan telefon bimbit.
“Mereka membawa anjing itu dengan kereta dari kem, kemudian tiba di lokasi, dua lelaki yang menangkap dan melemparkannya manakala seorang lagi merakamnya.
“Maklumat berkaitan tiga penjenayah itu telah dicagarkan oleh pegawai keselamatan yang bekerja di syarikat mereka,” ujarnya.
Suspek dilaporkan berada di balai polis Nunukan untuk siasatan lanjut.
Dalam masa yang sama, polis turut menerima laporan polis daripada pencinta anjing di Bandung.
Laporan itu menyatakan agar pelaku dikenakan tindakan yang sewajarnya.
BACA: Comel, Gelagat Mak-Mak Pegang “Hanger” Panggil Anjing Peliharaan Balik Rumah Undang Tawa
Warga Emas ditahan disyaki ikat, heret anjing dengan kereta hingga mati
Beberapa minggu lalu di Malaysia, seorang lelaki warga emas disyaki menyebabkan kematian seekor anjing di Kampung Sri Parit, Lukut ditahan pihak polis.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Supt Aidi Sham Mohamed, berkata polis menerima aduan daripada seorang lelaki berusia 44 tahun.
Difahamkan lelaki itu melihat seekor anjing telah diperlakukan dengan kejam sehingga cedera dan berdarah.
“Pengadu telah melihat anjing tersebut diikat dan diheret dengan menggunakan kereta.
“Akibat kejadian itu, anjing tersebut telah mati,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya tangkapan dilakukan terhadap pemilik anjing berusia 61 tahun itu kira-kira 10.05 malam di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah IPD Port Dickson dan direman sehari.
Kes disiasat mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan.
Sumber: Detik Susel