Jaguh basikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang berpendirian untuk tidak membuat pilihan tetap atas tawaran yang diterima daripada Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) buat masa ini.
‘The Pocket Rocketmen’ itu sebelum ini diberikan beberapa tawaran menarik termasuk jawatan dalam akademik di universiti berkenaan berikutan kejayaannya yang berjaya membawa pulang pingat perak dari Olimpik Tokyo baru-baru ini.
“Saya juga telah memaklumkan kepada pihak UPSI yang buat masa ini saya tidak akan membuat mana-mana pilihan konkrit ke atas tawaran-tawaran yang diterima.
“(Ia) kerana fokus saya adalah untuk memberikan tumpuan penuh kepada Olimpik 2024 terlebih dahulu,” katanya dalam satu perkongsian di Facebook hari ini.
Sebelum itu, dalam perkongsian tersebut, Azizul turut menzahirkan ucapan penghargaan kepada pihak universiti atas penganugerahan tinggi yang diberikan kepadanya.
“Syukur ke hadrat Ilahi, sekali lagi saya mendapat penganugerahan yang tinggi dalam dunia akademik apabila diberikan Anugerah Kecemerlangan Tokoh Sukan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan ditawarkan Biasiswa Bitara Pasca Siswazah untuk melanjutkan pengajian di peringkat Doktor Falsafah serta jawatan sebagai pensyarah.
Gambar: FB Azizulhasni Awang“Tawaran seperti ini adalah satu langkah dinamik dari pihak UPSI yang mana satu masa nanti apabila tiba masa untuk saya menggantungkan basikal, saya tahu yang sudah ada peluang baru di situ.
“Saya berharap, penganugerahan seperti ini akan menjadi motivasi untuk rakan-rakan atlet di luar sana untuk bekerja dengan lebih keras dan mencapai kejayaan di peringkat yang tertinggi.
“Ucapan terima kasih kepada seluruh warga UPSI yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung di dalam upacara ini terutamanya Naib Canselor Prof. Dato Dr. Md Amin Md Taff; Dekan FSSK Dr. Jafry Zakaria; Dekan IPS Prof. Madya Dr. Raja Nor Safinas Raja Harun dan Pengarah Pusat Sukan En. Mohammad Faeez Mohammad Alias,” katanya.
Imbas kembali, Azizul memenangi tempat kedua dalam acara keirin lelaki yang berlangsung di Velodrum Izu, Tokyo pada 8 Ogos lalu.
Walaupun terpaksa akur kepada pelumba Great Britain, Jason Kenny yang meraih emas, Azizul berjaya membawa pulang pingat perak untuk Malaysia setelah mendahului pesaing terdekatnya dari Belanda, Harrie Lavreysen.
Untuk rekod, Azizul turut pernah mengharumkan nama negara apabila membawa pulang pingat gangsa dalam acara keirin semasa di Olimpik Rio pada 2016 lalu.
Sumber: FB Datuk Azizulhasni Awang