Terpukau Naik MRT Malaysia, Pelancong UK Dedah Beza Ketara Dengan London Underground
Bila merantau ke luar negara, kita dapat melihat pelbagai keindahan dan kepelbagaian budaya masyarakat setempat. Sudah tentu, kita juga akan merasai kemudahan yang tidak ada di negara sendiri.
Bagaimanapun, bak kata pepatah ‘hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri’. Namun, lebih baik di negeri sendiri kerana apa yang dikecapi sekarang ini mungkin juga didambakan oleh orang dari negara lain. Kadang kala, kemudahan yang kita rasakan biasa sebenarnya luar biasa untuk orang yang tidak pernah mengecapinya.
Sama seperti yang dapat dilihat menerusi video tular di TikTok yang dimuat naik oleh lelaki dan wanita dari United Kingdom dikenali sebagai The Backsnackers.
Beza MRT Malaysia dengan London Underground
Video mereka mencuri tumpuan kerana berkongsi perbezaan sistem MRT di Malaysia dan di London yang turut dipanggil sebagai London Underground.
“Kami nak naik MRT untuk ke Kuala Lumpur, jadi kami nak tunjukkan pada anda semua apa beza MRT di sini dengan di London,” katanya.
Mereka terlebih dahulu membeli token di mesin layan diri yang disediakan dan segera masuk ke dalam MRT.
Perkara pertama yang membuatkan mereka teruja adalah ruang untuk penumpang wanita sahaja. Selain itu, skrin panduan yang disediakan di dalam MRT dikatakan jauh lebih mudah untuk mereka mencari arah berbanding di London.
“MRT ini pula sistem tanpa pemandu, maksudnya tidak perlu risau kalau pemandu mogok setiap minggu.
“Tidak perlu nak mind the gap dalam MRT ini sebab memang tidak ada jurang. Apa yang lagi bagus adalah terdapat penghadang di sini yang menghalang kita daripada terjatuh ke landasan. Ya, ia jauh lebih selamat,” ujar mereka.
Pasangan itu juga memuji tahap kebersihan MRT Malaysia berbanding di London.
“MRT di Malaysia jauh lebih bersih, lebih kemas berbanding London Underground dan siap ada penghawa dingin lagi.
“Memang menakjubkan, jauh lebih baik. London memang kena usaha lebih sikit,” kata mereka.
Menjengah ke ruangan komen, pasangan itu juga menjawab persoalan netizen mengenai penghawa dingin di dalam MRT London. Menurut mereka, tiada penghawa dingin di dalam pengangkutan awam itu, jadi mereka akan sangat kepanasan bila musim panas.
Sumber: The Backsnackers