Sejak kebelakangan ini, sering kita nampak berita-berita palsu tentang keberkesanan ubat anti-parasit ivermectin dalam merawat dan mencegah virus COVID-19. Setakat ini, tiada data klinikal yang membuktikan perkara tersebut dan tiada produk dengan bahan aktif ivermectin berdaftar untuk kegunaan manusia.
Pun begitu, masih ada yang mempercayai dan terpengaruh dengan berita palsu ini tanpa mengkaji terlebih dahulu. Malah salah seorang yang mencuba ‘alternatif’ ini telah dimasukkan ke hospital kerana kesan sampingan ubat tersebut.
Memetik laporan Mothership, wanita warga Singapura itu dilaporkan mengambil ivermectin tanpa nasihat doktor bertauliah untuk mencegah virus COVID-19. Dikatakan wanita tersebut bertindak mengambil ubat berkenaan kerana terpengaruh dengan ajakan rakan-rakannya.
Anak kepada wanita berkenaan yang dikenali sebagai Vanessa memuatnaik sebuah hantaran di Facebook untuk membuka mata masyarakat tentang penyalahgunaan ivermectin. Dia turut berkongsi kisah ibunya yang dikejarkan ke unit kecemasan hospital kerana mengalami enam kesan sampingan terhadap penggunaan ivermectin.
Menurut hantaran tersebut, Vanessa memaklumkan yang ibunya mengalami simptom pening kepala, mual, hilang selera makan, sakit sendi, kelesuan serta tidak mampu berdiri dan berjalan.
Tulis Vanessa, ibunya terpengaruh dengan dua rakan yang dipercayai merupakan golongan antivaksin. Selain menyarankan wanita tersebut mengambil ivermectin untuk mengelak dijangkiti virus COVID-19, kedua-dua mereka turut menghalang wanita tersebut mengambil vaksin jenis MRNA seperti didaftarkan Vanessa.
Sumber: Mothership