Terpaksa Balik Sebab Duit Habis, Penyokong Argentina Terkedu Warga Qatar “Offer” Taja Tiket & Tempat Tinggal
Seorang penyokong Argentina yang akan terpaksa menamatkan pengembaraan Piala Dunia di bumi Qatar kerana ketiadaan wang tak sangka bahawa pengembaraannya itu boleh disambung semula.
Menurut The National News, lelaki yang bernama Gato Scheinaizen itu dilihat telah siap membawa beg pakaiannya dan bersedia untuk pulang ke tanah air sebelum perlawanan suku akhir Argentina menentang Belanda pada Jumaat lalu berikutan telah kehabisan wang untuk menginap di hotel.
Gato menceritakan pengalaman indahnya itu kepada saluran ESPN Futbol Argentina awal minggu ini.
Dia menceritakan bahawa terdapat seorang warga Oman yang baik hati telah memberikan bantuan kepadanya.
Lelaki bernama Ahmed Pato, seorang penyampai radio yang berpangkalan di Doha telah menyertai satu wawancara di zon peminat sebelum bertindak menawarkan Gato tempat tinggal percuma di rumahnya.
Baca: “Boleh Dapat Pampasan Sehingga..,” Ketahui Hak Lelaki Jika Jadi Mangsa Gangguan Seksual
“Jangan pergi mana-mana Habibi, Argentina akan membawa pulang Piala Dunia. Duduk di sini jangan pergi dahulu,” kata Ahmed Pato kepada Gato dalam sebuah rakaman video wawancara yang dikongsi secara meluas di media sosial.
“Tak apa, duduk sahaja di rumah saya. Jangan pergi dulu. Argentina adalah antara yang terbaik. Di Qatar semua orang dialu-alukan. Anda kini berada di rumah anda sendiri,” kata Ahmed Pato lagi.
Terkilan dengan pelawaan itu, Gato terus mengucapkan terima kasih kepada Ahmed Pato atas tawaran baiknya itu.
“Ahmed seorang yang sangat baik, dia menjemput saya tinggal dirumahnya untuk baki perlawanan Piala Dunia.
“Dia juga berjanji untuk membayar harga tiket perlawanan. Dia seorang yang baik,” kata Gato kepada The National.
Tawaran baik itu telah disambut dengan sorakan yang meriah oleh peminat-peminat bola sepak lain yang berada di kawasan temu bual tersebut.
Ahmed Pato kemudiannya dilihat mengangkat beg bagasi Gato di atas kepalanya untuk menghalangnya dari pulang dan seterusnya meneruskan perjalanannya bagi mengakhiri Piala Dunia Qatar 2022.
“Salah sebuah kisah paling gila yang kami kongsikan setakat ini dalam Piala Dunia musim ini,” kata penyampai TV, Agustin Belachur.
Sumber: The National News