Presiden Rusia, Vladimir Putin telah mengisytiharkan perang ke atas Ukraine dan telah mengarahkan pasukan tenteranya untuk melancarkan serangan ketenteraan hari ini.
Berikutan itu, siren serangan udara yang ‘mengerikan’ kedengaran di tengah-tengah ibu kota Ukraine, Kyiv sebentar tadi.
Memetik laporan Mirror, Rusia telah melancarkan serangan besar-besaran ke atas Ukraine dengan letupan kedengaran di seluruh bandar utama.
Mereka juga dilaporkan telah melepaskan peluru berpandu ke beberapa bandar Ukraine dan mendaratkan tentera di pantai selatannya.
Sementara itu, senator AS, Marco Rubio berkata serangan yang berlaku di Ukraine adalah selaras dengan taklimat perisikan yang mereka terima berkaitan pencerobohan Rusia, lapor CNN.
Dalam satu siri ciapan di Twitter, Marco berkata Rusia sedang melancarkan serangan ketenteraan berskala penuh dan menyeluruh di Ukraine.
“Serangan itu melibatkan pendaratan udara dan amfibia, serangan peluru berpandu dari udara, darat dan tentera laut, serangan elektronik dan siber serta pasukan darat yang besar untuk menduduki wilayah yang luas,” katanya.
Tambahnya lagi, tentera udara Rusia juga sedang berusaha untuk menguasai lapangan terbang di Kyiv.
Ahli Jawatankuasa Perhubungan Luar Senat, Senator Ben Cardin pula berkata para senator akan diberi taklimat mengenai pencerobohan itu oleh Rumah Putih pada Khamis.
Sumber: Anadolu Agency, NewsX, Mirror
BACAAN LAIN: