Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz kembali dilantik semula menjadi Menteri Kewangan, umum Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, pada hari ini.
Jawatan tersebut didukung oleh dua timbalannya, iaitu Timbalan Menteri I, Mohd Shahar Abdullah dan Timbalan Menteri II, Yamani Hafez Musa.
Dalam masa sama, jawatan Menteri Alam Sekitar juga kekal dipegang oleh Tuan Ibrahim Tuan Man, disusuli timbalannya Datuk Dr. Mansor Othman.
Dalam Jemaah Kabinet baharu yang diumumkan Perdana Menteri, terdapat 31 menteri serta 32 timbalan menteri yang dilantik di mana 80 peratus daripadanya merupakan wajah-wajah lama dalam Kabinet terdahulu.
Jelas Ismail, barisan Kabinet baharu yang dipilih ini merupakan kombinasi mereka yang berpengalaman dan diyakini mampu membantu negara mendepani krisis pandemik Covid-19.
Dalam masa sama, tiada jawatan bagi Timbalan Perdana Menteri yang dinamakan kali ini, sebaliknya Perdana Menteri didukung oleh empat menteri kanan.
Empat menteri kanan berkenaan adalah Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang kekal menjawat Menteri Kanan (Perdagangan Antarabangsa dan Industri), Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein Menteri Kanan (Pertahanan), Datuk Seri Haji Fadillah Yusof dan Datuk Dr. Mohd Radzi Md Jidin masing-masing menyandang jawatan Menteri Kanan (Kerja Raya) dan Menteri Kanan (Pendidikan).
Mengimbas kembali, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima menghadap Perdana Menteri di Istana Abdulaziz di Kuantan, Pahang pada Khamis.
Menerusi sesi menghadap yang berlangsung selama satu jam 30 minit itu, Seri Paduka Baginda telah berkenan menerima persembahan senarai anggota Jemaah Kabinet baharu dari Ismail Sabri susulan pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri ke-9 pada 21 Ogos 2021 lalu.
Sumber: Siaran Langsung Pengumuman Kabinet oleh PM