Kerajaan mengisytiharkan bahawa semua institusi pendidikan akan ditutup sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa tiga yang berlangsung selama 12 Mei hingga 7 Jun ini.
Namun Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pengecualian akan diberikan kepada pelajar-pelajar yang akan menduduki peperiksaan antarabangsa.
Bagaimanapun jelas Muhyiddin, semua pusat asuhan kanak-kanak, tabika, taska dan tadika pula dibenarkan kekal beroperasi mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi membantu urusan kerja ibu bapa atau penjaga.
Sementara itu, kerajaan turut menghadkan bilangan orang atau penumpang dalam kenderaan persendirian, teksi dan e-hailing kepada tiga orang sahaja termasuk pemandu.
Manakala bagi kenderaan membawa barangan serta rantaian aktiviti ekonomi atau industri pula, bilangan orang yang dibenarkan adalah bergantung kepada jumlah yang dibenarkan dalam lesen pendaftaran kenderaan perdagangan.
Dalam masa sama, bilangan orang yang dibenarkan dalam mana-mana pengangkutan awam pula mestilah mematuhi penjarakan fizikal dan SOP yang ditetapkan.
Sumber: MKN