Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini memaklumkan bahawa gaji menteri dan timbalan menteri selama tiga bulan mulai Jun akan disumbangkan ke dalam Akaun Amanah Bencana sebagai membiayai perbelanjaan berkaitan COVID-19.
“Seperti mana yang telah diamalkan semasa PKP tahun lalu, saya ingin memaklumkan tanda sokongan barisan menteri dan timbalan menteri dengan tidak mengambil gaji selama tiga bulan mulai Jun 2021,” katanya.
Dalam pada itu, kerajaan juga akan terus mengutamakan pendekatan whole-of-government dan whole-of-society dalam memerangi pandemik COVID-19 iaitu usaha untuk mengoptimumkan seluruh tenaga kerja kesihatan dan peranan petugas barisan hadapan yang bertindak di lapangan serta peranan seluruh rakyat Malaysia yang turut sama membantu untuk memutuskan rantaian COVID-19 ini.
Menerusi perutusan khas malam ini, Muhyiddin juga mengatakan bahawa melaksanakan lockdown merupakan satu keputusan yang sukar tetapi terpaksa dilakukan.
Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada frontliners yang telah berjuang melawan COVID-19.
“Kepada frontliners, bertabahlah. Saya tahu anda semua penat berperang melawan virus ini sejak lebih setahun yang lalu. Saya ingin ulangi penghargaan kerajaan yang tidak terhingga atas segala jasa dan pengorbanan para frontliners kita di seluruh negara,” katanya.
Sumber: RTM