Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan pada hari ini bilangan kes sembuh Covid-19 adalah sebanyak 878 kes, menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya daripada Covid-19 adalah 38,132 kes (73.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).
Sehingga 19 November 2020, sebanyak 1290 kes baharu telah dilaporkan menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 51,680 kes. Manakala, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 pula adalah 13,222 kes. Daripada jumlah kes baharu berkenaan, terdapat lima kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara dan 1,285 kes pula adalah merupakan penularan Covid-19 dalam negara.
Sehingga kini, terdapat 110 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 37 kes memerlukan bantuan pernafasan.
Dalam kenyataan akhbar KKM, terdapat dua negeri yang mencatatkan jumlah kes positif terbaru tertinggi iaitu Sabah dengan 660 kes dan Selangor dengan catatan kes sebanyak 407 kes. Bagaimanapun, KKM juga dapat mengesan lagi empat kluster baru yang direkodkan hari ini.
Dukacita dimaklumkan terdapat pertambahan empat kes kematian berkaitan Covid-19, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 326 kes. KKM mengucapkan takziah kepada semua ahli keluarga mereka.
Sumber: Kenyataan Akhbar KKM