Kes positif COVID-19 dalam kalangan pelancong di Langkawi yang pertama dikesan, melibatkan seorang kanak-kanak berusia tiga tahun, maklum menerusi Kenyataan Media Jabatan Kesihatan Negeri Kedah.
Pengarah Kesihatan Kedah, Dr. Othman Warijo berkata, kes yang didapati dalam program gelembung pelancongan di pulau tersebut diklasifikasikan sebagai Import B (kes rentas negeri).
“Hasil siasatan Pejabat Kesihatan Daerah Langkawi, kes merupakan seorang kanak-kanak berusia tiga tahun dan berasal dari Nilai, Negeri Sembilan.
“Kes bersama ibu dan ayah tiba di Langkawi pada 24 September 2021, dalam jam 7.30 malam dengan menaiki penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2).
“Kedua ibu dan ayah kanak-kanak ini telah mendapat vaksinasi lengkap, bukan kes positif COVID-19 atau kontak rapat kepada kes positif COVID-19 dan tidak bergejala,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Othman, saringan RTK-Antigen menggunakan sampel air liur ke atas ibu bapa tersebut telah dijalankan di KLIA2 sebelum terbang ke Langkawi dan hasilnya adalah negatif.
Difahamkan, kanak-kanak tersebut tidak bergejala ketika sebelum perjalanan dan semasa saringan kesihatan di KLIA2 sebelum ke Langkawi.
Dalam masa sama, kanak-kanak ini juga memakai pelitup muka sepanjang berada di KLIA2, ketika dalam penerbangan dan semasa berada di pulau tersebut.
“Pada 25 September 2021, kanak-kanak ini mula mengalami demam dan telah dibawa mendapatkan rawatan pada 26 September 2021 di mana telah disahkan positif.
“Hasil siasatan mendapati, selain daripada ibu dan ayah kes, terdapat tiga orang saudara yang merupakan penduduk tempatan Langkawi menjadi kontak rapat kepada kanak-kanak ini.
“Kesemua lima kontak rapat telah diambil swab dan diberikan arahan kuarantin selama 10 hari. Hasil keputusan swab kesemua kontak rapat adalah negatif.
“Hasil siasatan juga mendapati, kemungkinan jangkitan ke atas kanak-kanak ini berlaku sebelum beliau melancong ke Langkawi,” katanya.
Jelas Othman, siasatan lanjut serta pengesanan kontak rapat masih diteruskan.
Menurutnya, hanya satu kes positif dilaporkan melibatkan pelancong yang melancong ke Langkawi setakat ini.
Pesakit kanak-kanak tersebut bergejala ringan dan kini diletakkan di bawah pemantauan Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) Langkawi.
Sumber: JKN Kedah / Bernama