KUALA LUMPUR, 10 Nov – Gangguan bekalan air tidak berjadual di tujuh (7) wilayah di sekitar Lembah Klang akan bermula pada 6 petang ini.
Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) dalam satu kenyataan berkata, ia berikutan pencemaran bau seakan pelarut yang dikesan di Sungai Selangor.
“Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 dan Rantau Panjang dihenti tugas berhubung pencemaran sumber air mentah di sungai tersebut pada 12.45 tengah hari tadi.
“Henti tugas keempat-empat loji ini dijangka akan menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual melibatkan 1,139,008 akaun merangkumi 1,279 kawasan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (KL), Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat,” maklum kenyataan tersebut hari ini.
Difahamkan, pencemaran di Muka Sauk LRA Rantau Panjang adalah pada tahap lapan (8) TON dan LRA SSP1, 2 dan 3 adalah pada 4 TON, setakat 2.30 petang tadi.
“Usaha untuk mencairkan bahan pelarut dan ‘flushing’ bahan pencemaran yang terdapat di dalam Sungai Selangor telah dilakukan dengan melepaskan air dari Empangan Sungai Selangor sebanyak 300 juta liter sehari dan Empangan Sungai Tinggi sebanyak 500 juta liter sehari.
“Dalam pada itu, air mentah turut dilepaskan melalui operasi pengepaman kolam KL Larut dengan kapasiti 192 juta liter sehari untuk tujuan yang sama,” tambah kenyataan itu lagi.
Sehubungan itu, sebarang perkembangan maklumat gangguan bekalan air tersebut akan dikemaskini dari semasa ke semasa di semua medium komunikasi Air Selangor termasuk Twitter, Facebook, Instagram, aplikasi Air Selangor dan laman sesawang www.airselangor.com.
Senarai kawasan-kawasan terlibat boleh dirujuk di SINI.

Sumber: Air Selangor