Bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba kini dilantik sebagai Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi yang baharu, disusuli timbalannya Datuk Haji Amzad Mohamed @ Hashim.
Pelantikan tersebut bagi menggantikan menteri terdahulu, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang bertukar portfolio sebagai Menteri Kesihatan seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Dalam pembentukan jemaah Kabinet baharu kali ini, terdapat 31 menteri serta 32 timbalan menteri yang dilantik di mana 80 peratus daripadanya merupakan wajah-wajah lama dalam Kabinet terdahulu.
Jelas Ismail, barisan Kabinet baharu yang dipilih ini merupakan kombinasi mereka yang berpengalaman dan diyakini mampu membantu negara mendepani krisis pandemik Covid-19.
Pada Khamis, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima menghadap Perdana Menteri di Istana Abdulaziz di Kuantan, Pahang.
Menerusi sesi menghadap yang berlangsung selama satu jam 30 minit itu, Seri Paduka Baginda telah berkenan menerima persembahan senarai anggota Jemaah Kabinet baharu dari Ismail Sabri susulan pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri ke-9 pada 21 Ogos 2021 lalu.
Sumber: Siaran Langsung Pengumuman Kabinet oleh PM