PUTRAJAYA, 23 Nov – Sebanyak empat lagi kluster baharu jangkitan COVID-19 yang dikesan pada hari ini, umum Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Datuk Seri Dr. Noor Hisham Abdullah.
Menurutnya, kluster pertama iaitu Kluster Bintang melibatkan pekerja-pekerja di sebuah tapak pembinaan dalam daerah Lembah Pantai, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Kes dikenal pasti positif antara 17 hingga 23 Nov hari ini melalui saringan secara bersasar. Setakat hari ini, sejumlah 608 individu telah disaring, 95 daripadanya dikesan positif termasuk 94 bukan warganegara dan satu (1) warganegara.
Seterusnya, kluster kedua ialah Kluster Indah Mas, melibatkan daerah Titiwangsa dan Kepong. Kes indeks merupakan kes ke-53,452 yang dilapor positif hasil saringan individu bergejala pada 21 Nov. Setakat hari ini, sejumlah 41 individu disaring dan 10 kes dikesan positif.
Kluster ketiga iaitu Kluster Teja Kasih, melibatkan daerah Kapar dan Kinta di Perak. Kes indeks iaitu kes ke-48,506 hasil saringan individu bergejala pada 16 Nov. Setakat hari ini, sejumlab 130 individu telah disaring dan 41 daripadanya dikesan positif.
Manakala kluster keempat iaitu Kluster Kobena, melibatkan daerah Johor Bahru, Johor. Kes indeks iaitu kes ke-52,599 dilapor positif pada 20 Nov. Setakat hari ini, 111 individu telah disaring dan 13 kes dikesan positif.
Sumber: KKM