PUTRAJAYA, 6 Dis – Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan terdapat pertambahan 1,335 kes positif baharu COVID-19 dilaporkan hari ini.
Angka tersebut menjadikan jumlah kumulatif kini meningkat ke 72,694 kes, bersamaan kes aktif dengan kebolehjangkitan sebanyak 11,039 kes.
Menurut kenyataan ketua pengarahnya, Tan Sri Datuk Seri Dr. Noor Hisham Abdullah, hanya tiga kes import dikesan dalam kes baharu ini, manakala 1,332 lagi merupakan penularan tempatan.
Untuk rekod, negeri-negeri di Lembah Klang hari ini mencatatkan sebanyak 515 kes (38.6 peratus). Selangor mencatatkan kes harian tertinggi iaitu sebanyak 337 kes (65.4 peratus), diikuti Negeri Sembilan 258 kes (19.3 peratus) dan Sabah 250 kes (18.7 peratus).
Dalam pada itu, 243 kes (18.2 peratus) pula berkaitan dengan kluster-kluster di Pusat Tahanan Sementara (PTS) dan penjara yang membabitkan Kluster Penjara Jalan Harapan dengan 141 kes, Kluster Tembok 92 kes, Kluster PTS Sibuga tujuh (7) kes, Kluster Bakti dua (2) kes dan Kluster Rumah Merah satu (1) kes.
Dalam pada itu, sebanyak 1,069 kes sembuh dilaporkan hari ini, menjadikan angka pulih keseluruhan kini meningkat ke 61,273 kes bersamaan 84.3 peratus.
Bagaimanapun, terdapat dua lagi kematian pada hari ini. Penjelasan kes kematian adalah seperti yang dilampirkan.

Sumber: KKM