Seorang kanak-kanak berusia 11 tahun pura-pura mati dengan melumurkan darah rakan kelasnya pada badan untuk elak ditembak semasa insiden tembakan sekolah di Uvalde, Texas baru-baru ini.
Menurut CNN News, M (bukan nama sebenar) merupakan salah seorang pelajar yang terselamat dalam insiden itu. Ketika kejadian, M sedang menonton filem Lilo and Stitch di dalam kelas bersama rakan dan dua guru, Eva Mireles dan Irma Garcia.
Difahamkan, kejadian tembakan berlaku dengan sangat pantas sejurus suspek memasuki kawasan sekolah. Ketika itu, M sempat memberitahu kepada gurunya bahawa suspek sudah pun tiba di situ.
Guru tersebut ketika itu sedang mahu mengunci pintu kelas. Namun segalanya sudah terlambat apabila suspek tiba terlebih dahulu di situ untuk menembak mereka.
Menurut M, gurunya itu sempat bertentang mata dengannya dan mengucapkan ‘selamat malam’ kepadanya sebelum ditembak oleh suspek hingga mati serta-merta di tempat kejadian.
Selepas menembak mati guru itu dan beberapa pelajar lain, suspek bergerak ke kelas sebelah. Ketika itu M terdengar jeritan dan bunyi tembakan, selain turut terdengar muzik kuat yang dimainkan suspek.
Difahamkan, semasa suspek bergerak ke kelas lain, M sempat mengambil telefon daripada mayat gurunya itu dan menghubungi polis serta-merta untuk mendapatkan bantuan.
Namun, gara-gara ‘kecut’ melihat guru dan kawannya yang mati, dia akhirnya tekad mengambil darah rakannya yang ‘rebah’ di lantai dan melumurkannya pada badan untuk berpura-pura mati (seolah-olah ditembak).
Difahamkan, dia bertindak sedemikian kerana bimbang suspek tersebut akan datang semula ke situ dan membunuh dirinya serta rakan lain yang masih terselamat.
Disebabkan itu, dia bersama rakan lain berasa seperti terbaring selama tiga jam dalam keadaan berlumuran darah sebelum polis tiba di tempat kejadian.
M menceritakan pengalaman ngerinya itu kepada pihak CNN dalam keadaan berbalut selimut. Tambahan pula, ketika ditemu bual, dia terlalu takut untuk bercakap di depan kamera dan orang dewasa.
Sementara itu, ibunya berkata bahawa anak perempuannya itu agak trauma dengan kejadian tersebut dan tidak boleh tidur sehingga terpaksa menjalani terapi khusus.
Insiden Tembakan Di Sekolah Rendah Robb
Terdahulu, sebuah insiden tembakan berlaku di Sekolah Rendah Robb, Uvalde, Texas. Siri tembakan itu telah mengorbankan 19 orang yang terdiri daripada pelajar dan guru sekolah terbabit.
Difahamkan, insiden tembakan itu didalangi oleh seorang remaja yang berusia 18 tahun bernama Salvador Ramos. Suspek dipercayai menyelinap masuk ke dalam sekolah itu sebelum melepaskan tembakan secara rambang.
Tindakan berani suspek remaja terbabit mencetus satu tragedi besar sehingga menyebabkan ramai terkorban, selain beberapa yang lain tercedera. Kejadian itu turut mendapat perhatian Presiden US, Joe Biden.
Sumber: CNN News