Setelah pelbagai tarikan yang ada sehingga dapat menarik minat pelancong, kini satu lagi tarikan terbaharu akan muncul di Pulau Langkawi. Tarikan yang dimaksudkan adalah Arca Dasar Laut yang merupakan program dianjurkan oleh Balai Seni Negara dengan kerjasama oleh pelbagai pihak.
Karya arca ini akan berada pada kedudukan di daratan, sekitar pesisir dan gigi pantai serta turut ‘dibenam’ ke dasar laut.
Mitos & Lagenda Pulau Langkawi Jadi Rujukan Penghasilan
Program ini melibatkan 9 orang artis yang terpilih untuk menyertainya. Mereka akan bersama komuniti setempat seperti para nelayan, operatus selam skuba dan artisan tempatan dalam penghasilan karya arca ini. Lebih menarik, arca ini akan berkonsepkan mitos dan lagenda Pulau Langkawi setelah kedua-dua elemen ini diangkat sebagai rujukan semasa penghasilannya.


Karya Arca Bersaiz 5 Kaki Dilabuhkan Di Perairan Pulau Pasir
Selain itu, bahan utama yang digunakan adalah simen konkrit yang telah dirawat dan bahan ini bersifat mesra kepada ekosistem dan ekologi marin. Karya arca yang telah siap dengan minima saiz 5 kaki setiap satunya akan dilabuhkan di perairan Pulau Pasir. Proses penghasilan arca dasar laut ini akan dilaksanakan di Pengkalan Kampung Kubang Badak dan pengkalan ini merupakan tempat pertemuan dalam kalangan peminat biogeotrial tempatan dan antarabangsa, aktiviti snorkeling dan juga memancing.

Kehadiran arca ini sudah pasti akan memperkayakan lagi kaloni dan habitat marin yang akhirnya memberi limpahan rezeki kepada komuniti sekitar dan akan menjadi pemangkin kepada ekopelancongan marin yang baharu.
Dijangka Siap Pada Mei 2022
Tambahan lagi, penghasilan arca dasar laut ini telah bermula pada Disember tahun lalu dan dijangka siap pada Mei 2022. Antara pihak yang turut bekerjasama dalam program ini adalah Marine Reseach and Excellent Centre (MAREC) UiTM Perlis, Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Pelancongan Seni dan Budaya Negeri Kedah, Geopark Langkawi, Jabatan Perikanan Malaysia, Pejabat Tanah Daerah Langkawi dan Polis Marin Langkawi. Program ini juga telah mendapat penajaan dari pihak Felcra dan juga LADA.
