Tangan Lebam & Kaki Bengkak, Trump Disahkan Hidap Masalah Salur Darah
Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump telah disahkan menghidap masalah salur darah atau Chronic Venous Insufficiency (CVI), lapor AFP.
Setiausaha Akhbar, Karoline Leavitt memaklumkan perkara tersebut selepas timbul spekulasi mengenai tangan Trump yang lebam teruk dan kakinya juga dilihat bengkak. Ia dapat dilihat pada perlawanan akhir Piala Dunia Kelab FIFA baru-baru ini di New Jersey.
Menurut Karoline, Trump yang berusia 79 tahun mengalami perubahan warna yang ketara pada tangan kanan akibat kerengsaan tisu kerana kerap berjabat tangan. Ia ditambah dengan penggunaan aspirin sebagai sebahagian daripada rawatan kardiovaskular standard.
“Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, Presiden Trump mengalami bengkak ringan di bahagian bawah kakinya.
“Ujian ultrabunyi mendedahkan kekurangan vena yang kronik, ia merupakan keadaan yang biasa terutamanya pada individu yang berumur lebih 70 tahun,” katanya.
Keadaan itu melibatkan urat kaki yang rosak dan gagal memastikan darah mengalir dengan baik.
Tambah Karoline, Trump sendiri telah meminta agar diagnosis tersebut didedahkan kepada umum agar ada ketelusan mengenai perkara terbabit.
Doktor Presiden, Sean Barbabella pula berkata Trump berada dalam keadaan yang sangat baik walaupun mengalami masalah itu. Dalam masa yang sama, Rumah Putih menegaskan bahawa keadaan itu tidak menimbulkan risiko serius kepada Trump.
Trump juga dikatakan mempunyai struktur dan fungsi jantung yang normal, tiada tanda-tanda kegagalan jantung, gangguan buah pinggang atau penyakit sistemik.
Bagaimanapun, selama berbulan-bulan, Rumah Putih sebelum ini enggan menjawab soalan mengenai tangan Trump yang lebam, mengatakan bahawa ia adalah semata-mata kerana berjabat tangan.
Kesihatan presiden AS sentiasa diawasi dengan teliti, tetapi sejak 2017 ia lebih dititikberatkan kerana usia presiden yang sudah tua.
Dalam pilihan raya 2024, kesihatan Joe Biden menjadi isu utama dan kempennya terpaksa digugurkan untuk penggal kedua selepas prestasi perdebatan yang buruk dengan Trump.
Republikan di Dewan Perwakilan telah mengeluarkan subpoena kepada beberapa pembantu Biden, termasuk doktornya, untuk meminta mereka memberi keterangan dalam siasatan mengenai kecergasan mental Demokrat.
Biden telah didiagnosis dengan kanser prostat yang agresif pada bulan Mei.
Sumber: AFP