KUALA LUMPUR: Seorang ibu tunggal dikenakan hukuman denda sebanyak RM9,000 oleh mahkamah seksyen kerana cuai menjaga anak lelakinya yang baru berusia tujuh bulan sehingga mengalami kesan melecur pada bahagian lengan dan bawah ketiak.
Hakim Isralizam Sanusi menjatuhkan hukuman selepas peniaga barangan kosmetik dalam talian itu menukar pengakuannya kepada bersalah pada hari pertama perbicaraan kes, hari ini.
Mahkamah juga memerintahkan wanita berumur 26 tahun itu untuk menjalani hukuman penjara selama sembilan bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Wanita itu turut diperintah untuk berkelakuan baik selama tiga tahun tanpa cagaran mengikut Seksyen 31(2) (a) Akta Kanak-kanak.
Tertuduh merupakan ibu kandung kepada kanak-kanak lelaki berusia tujuh bulan telah cuai sehingga menyebabkan kecederaan pada bahagian lengan kanan dan kiri serta bawah ketiak sebelah kanan. Kejadian itu didakwa berlaku di kediaman di Setapak, Disember tahun lalu.
Wanita itu didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah seksyen sama yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara hingga 20 tahun atau kedua-duanya sekali.
Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Aiman Azahan, memohon agar hukuman setimpal berbentuk pengajaran terhadap tertuduh agar dapat memberi mesej kepada masyarakat bahawa kesalahan yang dilakukan adalah serius.
Keadaan mangsa semasa diambil oleh pengadu, iaitu bapa kandungnya, mangsa berada dalam keadaan trauma dan ketakutan.
Walau bagaimanapun, peguam yang mewakili tertuduh, Zulkifli Awang, memohon agar hukuman denda yang ringan dengan alasan anak guamnya telah insaf dan perlu menjaga keluarganya.
Pada hari kejadian, bapa kandung kanak-kanak itu telah menghantar mangsa ke rumah tertuduh untuk dijaga. Semasa pengadu mengambil anaknya, dia mendapati ada kesan melecur pada bahagian lengan kanan dan kiri serta bahagian bawah ketiak kanan mangsa. Mangsa juga berada dalam ketakutan.
Curiga dengan keadaan itu, saksi bertanya kepada tertuduh. Namun dia menjawab bahawa dia tidak tahu menahu tentang kesan lecur itu.Mangsa kemudian dibawa ke hospital oleh bapa kandungnya bagi mendapatkan rawatan.
Sumber: Utusan Malaysia