Tanah Runtuh Dahsyat Ragut Lebih 1,000 Nyawa, Kampung Di Sudan Lenyap Sekelip Mata
Kejadian tanah runtuh telah meranapkan sebuah perkampungan terpencil di wilayah Darfur, Sudan pada Selasa dan mengorbankan lebih 1,000 orang iaitu hampir keseluruhan komuniti di situ.
Memetik laporan AFP, kejadian tanah runtuh itu berlaku selepas hujan lebat melanda kampung Tarasin di kawasan pergunungan Jebel Marra pada Ahad.
Sudan Liberation Movement (SLM) yang menguasai kawasan itu, berkata hanya seorang sahaja yang terselamat dalam kejadian terbabit.
“Maklumat awal menunjukkan hampir semua penduduk kampung yang dianggarkan lebih 1,000 orang telah terkorban, dengan hanya seorang terselamat,” katanya.
Mereka juga merayu kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan organisasi bantuan lain supaya membantu mengeluarkan mayat-mayat yang masih tertimbus di bawah lumpur dan runtuhan tanah.
“Ini di luar kemampuan kami. Pasukan kemanusiaan kami dan penduduk setempat sedang cuba mengeluarkan mayat, tetapi skala bencana ini jauh lebih besar daripada sumber yang kami ada,” katanya.
Kredit: AFPKesatuan Afrika menyeru Sudan supaya ‘menamatkan pertempuran’ dan membenarkan penghantaran bantuan kepada mangsa.
“Dalam keadaan menyedihkan ini, pengerusi Suruhanjaya menyeru semua pihak berkepentingan Sudan untuk menghentikan pertempuran dan bersatu bagi memudahkan penghantaran segera bantuan kemanusiaan kecemasan kepada mereka yang memerlukan,” kata blok itu dalam satu kenyataan.
Imej yang diterbitkan SLM di laman webnya menunjukkan sebahagian besar lereng gunung runtuh, menimbus kampung dengan lumpur tebal serta pokok-pokok tumbang. Rakaman video menunjukkan orang ramai berdiri di atas batu-batu tajam sambil mencari mangsa yang tertimbus.
Jebel Marra ialah kawasan pergunungan gunung berapi yang lasak, membentang kira-kira 160 kilometer di barat daya ibu negeri Darfur Utara, El-Fasher, yang kini sedang dikepung Pasukan Sokongan Pantas (RSF).
Kawasan itu memang terdedah kepada tanah runtuh, terutama pada musim hujan yang memuncak pada bulan Ogos. Pada 2018, tanah runtuh di Toukoli berhampiran meragut sekurang-kurangnya 20 nyawa.
Sumber: AFP