Lebih daripada 400 orang di 35 negeri di Amerika Syarikat dilaporkan telah dijangkiti wabak jangkitan Salmonella.
Menurut portal Al.com, Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC), kini sedang menyiasat insiden tersebut dan mengatakan bahawa terdapat sekurang-kurangnya 419 kes yang disahkan dengan 66 orang telah dimasukkan ke hospital.
Bagaimanapun, tiada kes kematian yang dilaporkan. Alabama merupakan antara negeri yang terlibat iaitu dengan 1 hingga 5 kes.
Pegawai kesihatan negeri itu mengatakan jumlah orang yang sakit mungkin jauh lebih tinggi kerana ramai yang telah sembuh tanpa mendapatkan rawatan perubatan dan tidak membuat ujian.
Sementara itu, CDC mengatakan bahawa tiada sumber makanan yang dikenal pasti sebagai penyebab wabak itu.
Difahamkan, sebilangan besar orang yang dijangkiti bakteria Salmonella mengalami cirit-birit, demam dan kekejangan perut.
Gejala itu biasanya akan bermula dalam masa 6 jam hingga 6 hari selepas terdedah kepada bakteria itu dan kebanyakannya telah pulih tanpa rawatan selepas 4 hingga 7 hari.
Kanak-kanak atau orang dewasa yang berusia 65 tahun ke atas pula mungkin mengalami jangkitan yang lebih teruk sehingga memerlukan rawatan perubatan atau dimasukkan ke hospital kerana mereka mempunyai sistem imun yang lemah.
Sumber: Al.com