BINTANGOR (Sarawak), 23 Jan – Hasrat seorang bapa untuk membawa dua orang anaknya untuk berjumpa ibu mereka yang bekerja di Bandar Sibu sempena cuti Tahun Baru Cina tidak kesampaian apabila beliau maut dalam satu nahas jalan raya dekat sini malam tadi.
Semada Beti, 58, disahkan mati akibat kecederaan parah di kepala sementara anak-anaknya Sarena Michele Menti, 14, dan Davidson Logo, 7, cedera masing-masingnya di kaki dan kepala dalam nahas yang berlaku di Km4.8, Jalan Kanowit-Julau-Durin kira-kira pukul 8.30 malam.
Ketua Polis Daerah Meradong, DSP Sekan Anoi berkata nahas berlaku apabila motosikal yang ditunggang Semada bersama anak-anaknya itu terlanggar kon yang diletakkan di selekoh jalan menyebabkan motosikal itu hilang kawalan dan terbabas ke sebelah kanan jalan yang berbatu.
Beliau berkata mayat Semada dibawa ke Hospital Sarikei untuk dibedah siasat sementara anak-anaknya turut dirujuk ke hospital yang sama untuk rawatan lanjut.
Sumber: Bernama