Tak Ramai Tahu Fungsi Sebenar Bangunan Seakan Kapal, Rupanya Tempat Simpan ‘Rahsia Besar’
Bagi penduduk Bagan Datuk, pasti ramai sudah mengenali bangunan seakan kapal belayar di tengah lautan ini. Namun bagi pengunjung Program Madani Rakyat (PMR) 2025 Perak yang datang dari luar negeri, rekabentuk Politeknik Bagan Datuk (PBD) ini membuatkan ramai terpesona.
Untuk makluman, PBD merupakan sebahagian daripada pameran PMR 2025 Perak yang berakhir 15 Jun lalu setelah penganjurannya berlangsung selama tiga hari sebagai salah satu institusi TVET utama negeri.
Dikenali sebagai Politeknik Maritim Malaysia, institusi ini menawarkan kursus berteraskan teknologi maritim termasuk Diploma Teknologi Kejuruteraan Elektrik Marin, Diploma Senibina Kapal dan Diploma Teknologi Kejuruteraan Pembinaan Marin.
Mungkin tak ramai yang tahu, kampus ini mempunyai fasiliti canggih sebagai simulasi operasi di atas kapal maritim sebenar. Antara fasiliti utama termasuk makmal dan bengkel berteknologi tinggi seperti CAD/CAM, mesin CNC dan makmal simulasi reka bentuk 3D.
Kredit: Jabatan Kerja RayaKampus ini juga dilengkapi simulator enjin dan sistem elektrik marin selain makmal sistem janakuasa serta kawalan marin. Ia juga memiliki kemudahan latihan penyelenggaran dan operasi kapal perang, kapal pesisir serta kapal dagang.
Para graduan daripada program-program ini berpeluang menyertai sektor pekerjaan berpendapatan tinggi seperti juruteknik reka bentuk kapal, pegawai sistem elektrik marin dan penyelia pembinaan kapal. Tak kurang juga, ada antara graduan yang mengejar peluang kerja di luar negara seperti Jepun, Korea Selatan dan Timur Tengah.
Kalau anda ada anak-anak yang berminat dalam bidang TVET dan mahu ceburi dunia maritim, bolehlah menjadikan bidang ini sebagai salah satu pilihan. Mana tahu, satu hari nanti boleh jadi jurutera kapal bergaji tinggi dan berkhidmat di luar negara.
Gambar: Politeknik Bagan DatukTerdahulu, program yang berlangsung dari 13 hingga 15 Jun ini dirasmikan oleh Perdana Menteri, YAB Dato Seri Anwar Ibrahim dan turut dihadiri Menteri Besar Perak, YAB Dato Seri Saarani Mohamad serta Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato Seri Diraja Dr Zambry Abd Kadir.
Program PMR 2025 Perak ini merupakan medan pelbagai agensi dan kementerian untuk turun padang mendekatkan perkhidmatan kerajaan terus kepada rakyat.
Gambar: Kementerian Pendidikan TinggiProgram MADANI Rakyat 2025 peringkat negeri Perak berjaya menarik lebih sekali ganda dari sasaran asal pengunjung sepanjang tiga hari penganjuran di Lumut Waterfront, sekali gus mencatatkan jumlah pengunjung tertinggi berbanding penganjuran PMR di dua lokasi sebelumnya, membuktikan sambutan hangat rakyat terhadap inisiatif kerajaan mendekatkan perkhidmatan kepada masyarakat.
Antara pengisian utama ialah 230 perkhidmatan touchpoint rakyat, penyertaan 8 usahawan jualan MADANI, 12 majikan dalam Karnival Kerjaya, 75 sesi libat urus pentas, 16 program satelit dan 8 agensi perkhidmatan bergerak.
Gambar: Kementerian Pendidikan TinggiTurut disediakan ialah servis asas motosikal percuma, pemeriksaan kesihatan oleh hospital pengajar universiti, program penanaman pokok bakau serta gotong royong pembersihan pantai bersama pelajar antarabangsa.
Program ini merupakan lokasi ketiga PMR 2025 selepas Sabah dan Johor, sebagai platform menyampaikan inisiatif dan dasar kerajaan secara langsung kepada rakyat, seiring dengan Agenda Pembangunan MADANI.
Gambar: Kementerian Pendidikan Tinggi