Gambar: The Current

Tak Dibenar Makan & Minum, Jurugambar Kelaparan Nekad Padam Semua Gambar Depan Pengantin & Tinggalkan Majlis

Aqmal Ezany

Seorang jurugambar nekad memadam semua gambar dalam kameranya tepat di hadapan pengantin lelaki selepas dia tidak dibenarkan berehat sebentar untuk makan dan minum ketika bertugas di majlis perkahwinan tersebut.

“Saya sebenarnya bukan seorang jurugambar, saya hanya menguruskan anjing. Saya ambil banyak gambar anjing untuk dimuat naik ke dalam Facebook dan Instagram saya, ianya adalah ‘perkara yang saya selalu lakukan’, tulisnya di Reddit.

Seorang kawan yang ingin berjimat telah meyakinkannya untuk mengambil gambar di majlis perkahwinannya itu. “Saya memberitahunya bahawa ianya bukanlah kepakaran saya, namun dia telah meyakinkan saya dengan menyatakan bahawa dia tidak kisah jika hasilnya tidak begitu sempurna,” katanya.

Jurugambar itu pun lalu bersetuju untuk menerima tawaran tersebut bersama dengan upah sebanyak ASD$250. Dia mula bertugas pada sekitar jam 11 pagi dan dijangka selesai sekitar jam 7.30 malam.

“Sekitar jam 5 petang, makanan telah dihidangkan dan saya diberitahu bahawa saya tidak boleh berhenti rehat untuk makan kerana saya perlu menjadi jurugambar,” tulisnya.

Dia melanjutkan, “Saya semakin penat dan pada ketika ini agak menyesal menerima kerja ini. Di situ juga sangat panas, suhunya seperti sekitar 110F dan tidak ada penghawa dingin.” Lebih teruk lagi, tidak ada kemudahan untuk mendapatkan air di situ.

Dia kemudiannya memberitahu kepada pengantin lelaki bahawa dia memerlukan rehat 20 minit bagi mendapatkan sesuatu untuk dimakan dan minum.

Namun begitu, pengantin lelaki menyatakan kepadanya bahawa “Saya perlu sama ada menjadi jurugambar, atau pergi tanpa gaji.”

Jurugambar itu menambah, “Dengan suhu yang panas, kelaparan, berasa jengkel dengan keadaan sekeliling, saya bertanyakan kepadanya bahawa adakah dia yakin untuk membuat perkara itu, dan dia berkata ya, jadi saya terus padam semua foto yang saya ambil di hadapannya dan terus meninggalkan tempat itu sambil berkata yang saya kini bukan jurugambar dia lagi. Sekiranya saya akan dibayar dengan ASD$250, jujur saya kata saya hanya akan bayar untuk segelas air sejuk dan tempat duduk selama 5 minit sahaja.”

Perkongsian itu juga turut menyebut bahawa pengantin baru berkenaan pergi berbulan madu dengan tidak memuat naik apa-apa di media sosial mereka.

Sementara itu, orang ramai dilaporkan bertanyakan kepada mereka berkenaan foto perkahwinan mereka.

Catatan jurugambar itu lantas menjadi tular di media sosial, dengan sebilangan besar warganet menyokong tindakan jurugambar tersebut.

“Mereka mahukan harga kawan tetapi tidak langsung sediakan makanan untuk awak? Anjing-anjing itu lagi bagus dari ‘kawan’ awak ni,” komen seorang warganet.

“Jika anda tidak bagi seseorang berehat untuk makan dan minum sekejap, anda bukanlah kawan sebenar dan tidak berhak untuk meletakkan harga sebegitu,” tulis seorang lagi warganet.

Warganet ketiga mencadangkan, “jurugambar tersebut tidak sepatutnya padam gambar-gambar itu. Untuk puaskan hati, dia sepatutnya pergi sahaja dari majlis itu dan ketika kawannya tanya tentang gambar tersebut kemudian, cakap bahawa dia hanya akan beri gambar itu dengan bayaran 2 atau 3 kali ganda.”

Sumber: TIMESNOWNEWS.COM