Memakai pelitup muka sudah menjadi norma baharu di kebanyakan negara sejak wabak COVID-19 melanda dunia. Pun begitu, kita masih dibenarkan membuka pelitup muka dalam sesetengah keadaan seperti makan, minum atau menangkap gambar.
Tapi lain pula dengan kanak-kanak asal Las Vegas ini. Kerana tak mahu buka pelitup muka semasa sesi bergambar di sekolah, kanak-kanak enam tahun tular di media sosial baru-baru ini. Gambar kanak-kanak itu dimuatnaik ibunya di Facebook sehingga meraih 23 ribu sukaan.
Gambar: Nicole PeoplesMenurut hantaran tersebut, kanak-kanak lelaki yang dikenali sebagai Mason ini dikatakan tidak mahu membuka pelitup mukanya kerana menuruti pesanan sang ibu.
“Ibu saya pesan agar memakai pelitup muka sepanjang masa kecuali waktu makan atau berada jauh dari semua orang”
“Saya selalu dengar cakap ibu saya,” kata Mason kepada jurugambar, memetik hantaran ibunya, Nicole.

Nicole berasa bangga dengan Mason yang mematuhi janji untuk tidak melepaskan pelitup mukanya. Pun begitu, kata Nicole, dia akan menerangkan dengan lebih jelas peraturan tersebut agar Mason lebih memahaminya.
Nicole berkata kepada CNN, dia telah kehilangan datuknya akibat jangkitan virus COVID-19, Januari lalu. Pemergian datuk Nicole sedikit sebanyak telah memberi impak kepada Mason. Kehilangan inilah yang menguatkan keinginan Mason untuk memakai pelitup muka agar dia dapat melindungi dirinya dan orang sekeliling.
Sumber: Nicole Peoples, DailyMail, CNN