
Syarikat, Pengarah Warganegara Asing Didakwa Tawar Syer Keutamaan Orang Awam Bernilai RM15 Juta
Kuala Lumpur, 10 Disember 2023 – Sebuah syarikat dan seorang ahli lembaga pengarah warganegara asing telah dituduh di Mahkamah Sesyen 5, Kuala Lumpur dengan empat pertuduhan di bawah seksyen 43 (1) dan seksyen 90 (4) Akta Syarikat 2016 berkaitan penawaran syer dikenali sebagai “Islamic Redeemable Preference Share (iRPS)” kepada orang awam dengan nilaian sekitar RM15,000,000.
FGP Ventures Sdn. Bhd dan pengarahnya, Khemlani Satesh yang merupakan warganegara Singapura, masing-masing dipertuduhkan dengan dua pertuduhan bagi setiap seksyen tersebut dan telah membuat pengakuan tidak bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan. Kedua-dua tertuduh diwakili peguambela Muhammad Hasif Ghazali dan Fithril Hakim Ab. Jalil manakala pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Kanan Mohd Fairuz Othman dan Mohd Iqbal Mohd Yusof.
Menurut seksyen 43(1) Akta Syarikat 2016, sebuah syarikat persendirian adalah dilarang menawarkan syer syarikat kepada orang awam. Kegagalan mematuhi kehendak undang-undang tersebut merupakan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah seksyen 43(5) akta yang sama yang membawa hukuman penjara tidak melebihi lima tahun atau denda tidak melebihi RM3,000,000 atau kedua-duanya sekali. Sementara itu, seksyen 90(4) Akta Syarikat 2016 merupakan kesalahan mengumpukkan syer keutamaan syarikat tanpa mempunyai perlembagaan syarikat dan boleh dihukum di bawah seksyen 90(5) akta yang sama yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM500,000.
Pihak pendakwaan telah menawarkan jaminan RM15,000 bagi setiap pertuduhan. Setelah mempertimbangkan rayuan dan hujahan kedua-dua pihak, Hakim Puan Aminah Ghazali telah menetapkan ikat jamin sebanyak RM3,000 bagi setiap pertuduhan dengan syarat tambahan seorang penjamin. Kedua-dua tertuduh telah mendepositkan wang jaminan tersebut pada hari yang sama. Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 10 Januari 2024.
Kegiatan penawaran saham keutamaan (preference shares) kepada orang awam oleh syarikat persendirian (Sdn. Bhd) adalah satu kesalahan di bawah Akta Syarikat 2016. SSM mengambil tindakan pendakwaan seumpama ini sebagai satu bentuk peringatan kepada komuniti korporat dan orang awam bahawa tindakan penguatkuasaan akan diambil sekiranya berlaku pelanggaran undang-undang yang dikawalselia oleh SSM. Ini bagi memastikan sikap tadbir urus korporat dan pematuhan undang-undang syarikat sentiasa diamalkan oleh warga korporat dan komuniti perniagaan di Malaysia.