Sweden Haramkan Kenderaan Guna Petrol & Diesel Di Bandar Utama Menjelang 2025
Pihak berkuasa di Stockholm, Sweden bakal mengharamkan kenderaan yang menggunakan bahan api petrol dan diesel di kawasan pusat bandar itu menjelang 2025, lapor AFP.
Difahamkan, larangan penggunaan bahan api itu bakal berkuatkuasa pada 31 Disember 2024.
Naib Datuk Bandar bagi Pengangkutan dan Persekitaran Bandar, Lars Stromgren berkata usaha itu bagi meningkatkan kualiti udara di bandar berkenaan.
“Sehingga kini, kualiti udara di Stockholm memberi kesan terhadap paru-paru warga emas dan bayi hingga menyebabkan mereka meninggal dunia. Situasi ini tidak boleh dipandang enteng.
“Kita perlu mengehadkan pembebasan gas berbahaya yang dihasilkan oleh kenderaan berpetrol dan diesel,” katanya dalam satu kenyataan.
Kawasan yang diberikan penekanan adalah di tengah-tengah bandar Stockholm, lebih-lebih lagi ia menjadi lokasi tumpuan orang ramai seperti pusat beli-belah, kedai makan dan bangunan pejabat.
“Kami juga mula memperbanyakkan laluan pejalan kaki dan penunggang basikal dalam usaha meningkatkan kualiti udara yang jauh lebih baik.
“Ini juga merupakan sebahagian daripada langkah di mana kita melihat terdapat banyak minat yang mendorong kepada peralihan ini,” kata Stromgren lagi.
Walau bagaimanapun, kenderaan polis, ambulans dan perkhidmatan keselamatan lain diberikan pengecualian.
“Dalam masa sama, kereta elektrik menyumbang kepada kadar pelepasan (gas) yang jauh lebih rendah dan bunyi yang lebih senyap.
“Penggunaan kenderaan ini juga tiada masalah pada waktu malam. Ia sekaligus akan mengurangkan kesesakan lalu lintas di pusat bandar,” katanya dalam kenyataan tersebut.
Imbas kembali, Amsterdam sebelum ini juga pernah mengumumkan bahawa pihak kerajaan akan mengharamkan semua kenderaan yang menggunakan gasolin dan diesel menjelang tahun 2030.
Sama seperti Stockholm, ia dilakukan sebagai usaha untuk mengurangkan pencemaran udara di ibu negara itu.
Langkah itu juga seiring dengan keputusan Kesatuan Eropah yang telah meluluskan larangan menjual kereta petrol dan diesel menjelang 2035.
Sumber: AFP