PUTRAJAYA, 17 Januari 2022 – Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada hari ini telah
melancarkan Survei Pendapatan, Perbelanjaan Isi Rumah dan Kemudahan Asas (HIES/BA)
2022 bertempat di Dewan Serbaguna, Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang. Majlis
Pelancaran Survei HIES/BA 2022 ini telah disempurnakan oleh YB Dato’ Sri Mustapa
Mohamed, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) dan turut dihadiri oleh
YBhg. Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin, Ketua Perangkawan Malaysia.
Survei ini dilaksanakan secara temuramah bersemuka dan akan melibatkan seramai 92,000
isi rumah terpilih yang meliputi lebih 500,000 orang penduduk di seluruh negara. Di samping
kaedah temu ramah bersemuka, responden terpilih boleh juga membuat pengisian borang
soal selidik secara self-response secara atas talian. Kerahsian maklumat yang dibekalkan
oleh responden dalam survei yang dijalankan ini adalah terjamin mengikut peruntukan di
bawah Akta Perangkaan 1965 (Disemak – 1989). Survei ini akan memberi manfaat kepada
semua pihak terutamanya pihak Kerajaan dalam menganalisis agihan pendapatan dan
perbelanjaan isi rumah mengikut domain yang lebih terperinci.
Bermula daripada Rancangan Malaysia yang Kedua sehingga Rancangan Malaysia Kedua
Belas, dapatan HIES/BA telah digunakan secara menyeluruh dalam penggubalan dasar dan
program pembasmian kemiskinan serta polisi yang berkaitan dengan kesamarataan
pendapatan isi rumah. Berikutan krisis kesihatan dan ekonomi yang berlaku dalam negara kita, dapatan survei HIES/BA 2022 ini akan menjadi tanda aras baharu bagi Kerajaan
menggubal polisi dan dasar yang berkaitan untuk kesejahteraan rakyat. Selain itu, dapatan
ini juga merupakan salah satu input yang akan digunakan oleh Kerajaan untuk menilai
pencapaian Rancangan Malaysia Kedua Belas, Wawasan Kemakmuran Bersama 2030,
dan Agenda 2030 Pembangunan Mampan (SDGs) yang menekankan pembangunan
negara secara mampan seiring dengan pengagihan ekonomi yang adil, saksama dan
inklusif pada semua peringkat kumpulan pendapatan, etnik, wilayah dan rantaian bekalan.
Susulan dari perkembangan Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020, YB Menteri
berkata data muktamad Banci Malaysia 2020 akan dikeluarkan dalam bentuk laporan
secara berperingkat bermula dari Februari 2022 sehingga 2024. Penerbitan pertama iaitu
Penemuan Awalan Banci Malaysia 2020 akan diterbitkan pada Februari 2022. Seterusnya,
dijangka lebih daripada 1,000 laporan Banci Malaysia 2020 merangkumi 16 negeri,
160 daerah, 222 parlimen dan 600 Dewan Undangan Negeri akan diterbitkan secara
berperingkat.
Dalam ucapannya juga, YB Dato’ Sri Mustapa Mohamed turut menyatakan selaras dengan
pengukuhan Sistem Statistik Negara, Majlis Statistik dan Data Negara (MSDN) yang
dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia telah ditubuhkan bagi menentukan
hala tuju sistem statistik negara di samping berperanan sebagai platform penyelarasan
maklumat peringkat negara. Selain itu, perkembangan fenomena data raya dan
ketersediaan teknologi telah mendorong pertumbuhan inovasi baharu dan membuka ruang
agensi kerajaan bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada rakyat. Atas keperluan ini,
penubuhan Pusat Analitik Data Raya Negara (NBDAC) adalah kritikal bagi menyokong
hasrat Kerajaan dalam memastikan setiap perancangan dan pembuatan keputusan
berlandaskan analitik data, selaras dengan inisiatif Kerajaan Digital.
Pembekalan maklumat yang lengkap dan tepat merupakan elemen utama dalam
memastikan semua perancangan dirangka berada pada landasan yang betul. Jabatan
Perangkaan Malaysia amat menghargai kerjasama daripada responden yang terpilih untuk
memberikan maklumat kepada DOSM serta menjayakan survei ini. Sila layari
www.dosm.gov.my untuk maklumat lanjut.