Sukarelawan Dirakam Bernyanyi, Tenangkan Gadis Terperangkap Bawah Runtuhan
Sukarelawan dari White Helmets yang juga dikenali sebagai Pertahanan Awam Syria dirakam bernyanyi demi menenangkan seorang gadis yang terperangkap di bawah runtuhan.
Menurut laporan, dipercayai kira-kira 17,000 orang terbunuh apabila gempa bumi berukuran 7.8 magnitud melanda Syria dan Turkiye pada Isnin lalu.
Rakaman menyentuh hati itu dikongsi oleh White Helmets. White Helmets merupakan pasukan sukarelawan yang mempertaruhkan nyawa mereka bagi membantu sesiapa sahaja yang memerlukan.
Di dalam video tersebut dapat dilihat bahawa gadis itu sedang menerima oksigen di bawah runtuhan bangunan.

Dikenali dengan pemakaian balut kepala mereka yang tersendiri, pasukan sukarelawan White Helmets telah pergi ke tempat paling berbahaya di dunia dan telah menyelamatkan lebih daripada 100,000 nyawa sejak lima tahun lalu.
Pasukan sukarelawan itu juga terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat antaranya ialah tukang jahit, jurutera, ahli farmasi, pelukis, tukang kayu, pelajar dan banyak lagi profesion yang lain.
Ramai yang telah dibantu oleh pasukan sukarelawan yang mempunyai belas kasihan yang tinggi ini. Namun begitu, seramai 252 orang sukarelawan telah terbunuh semasa misi menyelamatkan orang lain.
Pada waktu ini, beribu-ribu orang dipercayai masih terperangkap di bawah runtuhan di Turkiye dan Syria. Pasukan kecemasan dan penyelamat sedang giat menjalankan operasi mereka sepanjang malam bagi menyelamatkan mereka yang terperangkap.
Seramai 12,873 orang terbunuh di Turkiye dan seramai 60,000 orang telah cedera menurut agensi pengurusan bencana negara itu.
BACA:Gempa Bumi: Turkiye Berganjak 3 Meter Dari Kedudukan Asal – Pakar
Di sempadan Syria, seramai 3,162 telah dilaporkan mati manakala lebih 5,000 cedera dalam kejadian tersebut.
Pakar berkata, tahap kelangsungan hidup bagi mereka yang terperangkap di bawah runtuhan kini berada di tahap yang kritikal.
Namun pada masa yang sama, mereka berkata masih terlalu awal untuk berputus asa dalam memberikan bantuan kepada mangsa yang terperangkap.
Steven Godby, pakar Hazard di Nottingham Trent University berkata: 72 jam yang pertama dianggap kritikal.”
“Nisbah mangsa terselamat secara purata dalam masa 24 jam ialah 74%, selepas 72 jam ialah 22% dan pada hari kelima ialah 6%,” tambahnya lagi.
Menurut agensi pengurusan bencana, lebih 110,000 anggota penyelamat kini mengambil bahagian dalam usaha itu. Lebih 5,500 kenderaan termasuk traktor, kren, jentolak dan jengkaut telah dihantar.
Pasukan dari pelbagai negara telah menyertai pasukan kecemasan tempatan dalam usaha menyelamat.
Skala kemusnahan akibat gempa dan gegaran susulan yang kuat adalah sangat besar. Ia merebak ke kawasan yang begitu luas sehingga ramai mangsa masih menunggu bantuan tiba.
Sumber: Metro UK