Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham dalam satu kenyataan hari ini membuat hebahan berkait kemudahan untuk menemani ibu bersalin di wad semasa proses kelahiran, berkuatkuasa 4 Oktober.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah membenarkan para suami atau ahli keluarga terdekat keluarga terdekat untuk menemani ibu hamil semasa bersalin dengan mematuhi kriteria yang ditetapkan iaitu:
1. Suami atau ahli keluarga terdekat telah menerima dos vaksin lengkap COVID-19 iaitu;
14 hari selepas dos kedua bagi vaksin jenis dua (2) dos seperti Pfizer, Sinovac, dan Astra Zeneca; atau
28 hari selepas menerima vaksin jenis satu (1) dos seperti CanSino dan Johnson & Johnson.
2. Ahli keluarga terdekat perlu menjalani ujian pengesanan COVID-19 (RT-PCR atau RTK-Ag) di mana-mana fasiliti kesihatan atau makmal swasta dalam tempoh 72 jam dan keputusan ujian hendaklah dibawa bersama sebelum menemani ibu hamil di Wad Bersalin. Suami atau ahli keluarga terdekat juga perlu mengehadkan pergerakan mereka selepas menjalani ujian RT-PCR atau RTK-Ag; ATAU
3. Ahli keluarga terdekat boleh membeli Kit Ujian Kendiri COVID-19 yang telah mendapat kelulusan dari Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) dan membawanya ke hospital bagi menjalani ujian pengesanan kendiri COVID-19 di tempat saringan yang disediakan di hospital dengan dipantau dan disahkan oleh anggota kesihatan yang bertugas.
Selain itu, para suami dan ahli keluarga terdekat yang menemani para ibu hamil ini juga diingatkan untuk sentiasa mengamalkan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) sepanjang menemani ibu hamil ini. Ini kerana mereka merupakan golongan berisiko tinggi yang perlu sentiasa dilindungi.
Sumber: KP Kesihatan