
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bersedia menyokong pelaksanaan Strategi Pelaburan Hijau bagi menarik pelaburan hijau ke Malaysia dan memangkin pembangunan sosio-ekonomi yang lestari.
Pelaksanaan Strategi Pelaburan Hijau tersebut akan dipimpin oleh YAB Dato’ Sri Haji Fadillah Bin Haji Yusof, Timbalan Perdana Menteri Malaysia dan juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, manakala MITI merupakan Kementerian pelaksana utama bagi pelaburan.
Keputusan tersebut telah dibuat semasa Mesyuarat Majlis Pelaburan Negara (MPN 5/2024) yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.
MITI, selaku Sekretariat akan memfokus kepada usaha menarik pelaburan hijau bagi membantu merealisasikan sasaran karbon sifar bersih (net zero carbon emission) seawal tahun 2050, seperti yang digariskan oleh Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR).
Strategi tersebut berpaksikan tujuh (7) teras utama rendah karbon di bawah pelan NETR dan NIMP 2030, iaitu Energy Efficiency, Renewable Energy, Hydrogen Bioenergy, Green Mobility (Land, Marine, Aviation), Carbon Capture, Utilisation and Storage (CCUS) dan Circular Economy.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Aziz, berkata, “Pelaksanaan Strategi Pelaburan Hijau bakal memperlihatkan pelaksanaan peralihan tenaga dan pelaburan hijau secara lebih berkesan, teratur dan sistematik untuk Malaysia.
Antara sasaran utama adalah untuk menarik hampir lapan kali ganda jumlah pelaburan ke Malaysia bagi mencapai objektif NIMP 2030 dan NETR; memastikan pelaburan di dalam tujuh teras utama rendah karbon; memanfaatkan pelaburan langsung asing dalam sektor teknologi hijau dan menambahbaik ekosistem pelaburan hijau.”
“Kesemua ini dilihat akan mampu merangsang pertumbuhan sosio-ekonomi dalam industri hijau; serta mewujudkan pekerjaan baharu dan pembangunan kemahiran dalam industri hijau.
Ini bakal meningkatkan imej dan daya tarikan Malaysia sebagai destinasi dan hab pelaburan hijau pilihan serta meletakkan Malaysia sebagai peneraju serantau dalam sektor teknologi hijau,” sambung Tengku Zafrul.