KUALA LUMPUR, 2 Okt – Semua operator di terminal dan stesen termasuk perkhidmatan kaunter pengangkutan awam di seluruh negara perlu melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat mulai hari ini.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong dalam satu kenyataan berkata, SOP yang ditegaskan itu hendaklah dikuatkuasakan tanpa kompromi demi kepentingan semua pihak termasuk para kakitangan dan pengguna pengangkutan awam.
“Mohon ambil perhatian serius berhubung perkara ini. Sebanyak 260 kes dilaporkan positif COVID-19 hari ini (semalam) dan peningkatan sehingga angka tiga digit ini pastinya membimbangkan kita semua.
“Saya yakin dan percaya bahawa kita semua tidak mahu lagi dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seperti yang telah dilalui pada bulan Mac lalu,” kata kenyataan tersebut semalam.
SOP tersebut adalah melibatkan pelaksanaan pembersihan atau disinfeksi, amalan penjarakan fizikal serta penggunaan pelitup muka.
Dalam masa sama, orang awam dinasihatkan untuk sentiasa menjaga kebersihan diri seperti mencuci tangan dengan sabun atau cecair sanitasi, elakkan ke tempat sesak jika tiada keperluan penting serta segera ke klinik atau hospital sekiranya mengalami simptom COVID-19.

Sumber: Menteri Pengangkutan