SHAH ALAM, 13 Okt – Solat Jumaat, solat fardhu lima waktu berjemaah dan lain-lain aktiviti pengimarahan di seluruh Selangor ditangguhkan.
Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Mohd Shahzihan Ahmad berkata, penangguhan tersebut melibatkan 425 masjid, 278 surau kebenaran solat Jumaat dan 1,747 surau di seluruh negeri.
“Tindakan penangguhan ini dibuat selaras dengan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di negeri ini bagi mengekang penularan kes COVID-19 yang membimbangkan.
“Keputusan ini juga dibuat selari dengan hasrat JAIS dalam memastikan pentadbir masjid dan surau di Selangor dapat memberi kelangsungan keselamatan, kesejahteraan dan perlindungan terhadap anak kariah masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Difahamkan, solat Jumaat yang ditangguhkan perlu digantikan dengan solat fardhu Zuhur di rumah masing-masing.
Manakala solat fardhu berjemaah lima waktu pula hendaklah dilaksanakan dengan had bilangan jemaah tidak melebihi tiga orang.
“Azan hendaklah dikumandangkan setiap waktu.
“Aktiviti-aktiviti pengimarahan seperti kuliah Maghrib, kuliah Subuh, kuliah Dhuha dan aktiviti agama lain juga hendaklah ditangguhkan buat sementara,” tambah kenyataan itu lagi.
Penangguhan tersebut berkuatkuasa pada waktu Subuh 14 Oktober esok dan sebarang perubahan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Sumber: Jabatan Agama Islam Selangor