Sokong Terengganu, Ngolo Kante Laung “Peteh Tranung Peteh” Sampai Berbelit Lidah
Malam ini, akan berlangsung perlawanan akhir Piala FA yang mempertemukan JDT dengan Terengganu FC. Rata-rata, bagi peminat bola sepak malam ini adalah malam yang dinanti-nantikan memandangkan ia adalah perebutan salah satu piala utama yang dipertandingkan dalam Liga Malaysia.
Buat skuad Terengganu, mereka mungkin mendapat tonik tambahan apabila Ngolo Kante, pemenang Piala Dunia bersama Perancis yang kini beraksi bersama kelab EPL, Chelsea dirakam turut menyatakan sokongan kepada skuad Pantai Timur itu.
Dalam satu video yang dikongsikan oleh laman Facebook Football Terengganu, Kante dilihat berada di restoran Tukdin Flavour of Malaysia yang berpangkalan di London, United Kingdom.
Di dalam video berkenaan, Kante diajak melaungkan slogan “Good luck Terengganu, peteh Tranung peteh”.
Bagaimanapun, memandangkan dialog berkenaan diucapkan dalam dialek Terengganu, kedengaran Kante sedikit sukar untuk mengucapkan.
Namun dengan senyuman yang terukir di wajahnya, Kante berjaya menyembunyikan lidahnya yang berbelit dan mencuri tumpuan peminat bola sepak tempatan.
Kante diketahui adalah antara penghuni kota London yang sangat menggemari menu masakan Malaysia yang disediakan di restoran Tukdin.
Sebelum ini, Tukdin Flavour of Malaysia turut beberapa kali berkongsi foto Kante singgah di restoran berkenaan untuk mengisi perut.
BACA: Selepas Ratu Elizabeth Mangkat, Sultan Brunei Kini Jadi Raja Paling Lama Memerintah Di Dunia
Sumber: Football Terengganu